TONGGAK utama Harimau Malaya, Faisal Halim ambil ‘aura’ di Selangor dengan turut hadir menyaksikan Kejohanan Inter Club Football League (ICFL) Bawah 16 tahun Peringkat kebangsaan 2022/2023 di Stadium Mini Shah Alam.

Kehadiran Faisal yang lebih mesra dengan panggilan Mickey itu adalah untuk memberikan sokongan terhadap pasukan bekas sekolah sukannya iaitu Mutiara Soccer All Star A.

Jelas Mickey, memandangkan kini berada di Kuala Lumpur menjalani latihan kem Harimau Malaya dia mengambil peluang cuti yang diberikan untuk memberi sokongan.

“Sekolah sukan saya dahulu lah nie (Mutiara Soccer All Star A), kebetulan ada di Kuala Lumpur datanglah sekejap, jumpa keluarga dan juga cikgu.

“Pulang Pinang ada dua team (A dan B). Selain pasukan sekolah saya, kejohanan ini turut disertai pasukan adik ipar saya, kiranya hadir memberikan sokongan kepada kedua-dua pasukan,” katanya ketika ditemui FlashSukan.

Ditanya penganjuran kejohanan seumpama ini, Mickey melihat usaha seperti ini perlu diteruskan agar bakat-bakat muda dapat diketengahkan.

“Program seumpama ini bagus, sebenarnya saya bermula dari sini juga dan saya harap benda ini dapat dikembangkan lagi untuk bakat-bakat muda supaya pemain dapat peluang menjadi pemain dalam Malaysia ketika ini,” jelasnya.

Faisal (tengah) kini bersemangat menjalani latihan bersama skuad kebangsaan

Faisal kini bersama skuad kebangsaan menjalani kem latihan diberikan cuti dua hari sebelum kembali menjalani latihan esok sebagai persiapan kejohanan Piala AFF 21 Disember ini.

Ketika ini, pasukan negara sedang melakukan persiapan menghadapi dua aksi persahabatan menentang Kemboja (9 Disember) dan Maldives (14 Disember) sebelum saingan Piala AFF bermula hujung bulan.

Johan Kejohanan (ICFL) Bawah 16 tahun Peringkat kebangsaan 2022/2023 menjadi milik pasukan Melaka Boys (Sekolah Sukan Negeri Melaka) yang menewaskan Mutiara Soccer All Star A dengan jaringan 1-0.

Selaku juara, Melaka Boys membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000 beserta Piala Pusingan ICFL, piala iringan dan sijil penyertaan.
Naib johan pula akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,200 beserta medal dan sijil penyertaan manakala, tempat ketiga akan menerima RM800 beserta medal dan sijil penyertaan.

Empat pasukan terbaik pada kejohanan ini akan layak secara automatik untuk beraksi di Piala ICFL Bawah 17 Tahun Peringkat Asean yang akan berlangsung pada Mei tahun hadapan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur.