PEMAIN sayap Selangor FC, Faisal Abdul Halim, mengakui masih memerlukan masa untuk mencapai prestasi terbaiknya meskipun kembali sebagai pemain utama dalam Piala Sultan Selangor 2024 pada Sabtu.

Faisal Halim, yang lebih dikenali sebagai Mickey, menyatakan bahawa aksi 45 minit yang ditampilkan pada babak pertama perlawanan tersebut belum mencapai tahap maksimum dirinya, tetapi menunjukkan perkembangan yang positif dan menjadi penanda aras untuk menilai semula tahap kemampuannya di atas padang.

“Saya rasa 45 minit itu bukanlah permainan sebenar saya. Jika dibandingkan dengan persembahan sebelum ini, saya masih belum berada pada tahap terbaik. Saya perlukan masa untuk mencapai tahap itu dan berharap semua pihak memberi ruang kepada saya untuk mengejar semula,” kata Faisal.

Meskipun mengalami sedikit kecederaan seperti jatuh dan tangan kiri terkepak semasa perlawanan, Faisal menjelaskan bahawa tiada kecederaan serius yang mengganggu prestasinya dan melihat situasi ini sebagai satu kemajuan.

“Kini, saya lebih yakin dan fokus untuk meningkatkan kecergasan serta kekuatan saya,” tambahnya.

Pilihan Selangor mengekalkan kejuaraan Piala Sultan Selangor selepas menewaskan Pilihan Singapura, 2-1 di Stadium Merdeka pada Sabtu.

Dalam perlawanan tersebut, Pilihan Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Selangor untuk kali ketiga berturut-turut setelah menewaskan Pilihan Singapura 2-1. Faisal, yang beraksi pada separuh masa pertama, hampir menjaringkan beberapa gol.

Pemain berusia 26 tahun itu turut menyatakan bahawa kemenangan skuad Gergasi Merah malam tadi memberi suntikan semangat berharga menjelang perlawanan akhir Piala FA yang akan berlangsung Sabtu depan.

“Kami ke final Piala FA dengan satu matlamat, menang atau kalah. Kami akan memberikan yang terbaik untuk penyokong Selangor,” katanya.

Faisal sebelum ini membuat kemunculan semula pada 16 Jun lalu dalam perlawanan Piala FA antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC setelah mengalami kecederaan serius pada 5 Mei.

Beliau mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di ICU selama 10 hari. – Bernama

 

FOTO : SELANGOR FC