‘PELURU‘ kritikan dilemparkan segelintir penyokong tidak melemahkan dan mengganggu fokus pemain sayap skuad Harimau Malaya, Faisal Halim menjelang aksi terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan pada Khamis.
Sebaliknya, penyerang Selangor FC itu menganggap kritikan yang diterima itu sebagai lumrah, acap kali pasukan tidak mencapai keputusan yang diinginkan dalam mana-mana perlawanan.
“Saya rasa kritikan ini perkara biasa. Bila kita menang, semua okey semua bagus, bila kita kalah macam-macam lebih ramai ‘jurulatih’ sebenarnya di luar sana.
“Sebagai pemain kita kena terima saja apa yang orang nak kata, apa penyokong kita nak kata. Mereka ada hak untuk menilai dan memberi pendapat, tapi mereka tak ada hak untuk buat keputusan.
“Saya harap rakan-rakan saya dapat mengatasi kritikan itu,” katanya kepada media Malaysia di hotel penginapan pemain di Doha, Qatar pada Isnin.
Skuad kendalian Kim Pan-gon sudah tersingkir daripada persaingan merebut tempat ke pusingan 16 terakhir selepas kecundang 0-1 kepada Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad, Sabtu lalu.
Susulan daripada itu, skuad Harimau Malaya menerima kritikan daripada sesetengah pihak dengan pemain tengah, Natxo Insa menjadi antara pemain yang dikritik hebat oleh penyokong.
Sementara itu, Faisal tetap menyasarkan impian cuba menjaringkan gol untuk Malaysia selepas kali terakhir Indra Putra Mahayuddin meledak jaringan dalam pentas Piala Asia edisi 2007 di Kuala Lumpur.
“Sudah tentunya, setiap perlawanan saya nak skor, macam lawan dengan Bahrain pun saya ada peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Ini merupakan pertembungan kedua Malaysia dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait dengan bekas penyerang Zulkifli Hamzah menjaringkan gol penyamaan.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif adalah pada pusingan kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan Malaysia tumpas 0-3 pada 1989.