PEMAIN kebangsaan, Faisal Halim nyata sebak apabila hadir menyaksikan sesi hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Pestabola Merdeka dari 4 hingga 8 September 2024.
Faisal atau mesra disapa Mickey hadir memberikan kejutan kepada rakan-rakan sepasukannya dan dia tidak dapat menahan air mata apabila masih tidak dapat bersama-sama menyertai skuad kebangsaan.
Dia bagaimanapun bersemangat untuk meningkatkan kecergasan dirinya agar dia dapat kembali menyarung jersi Harimau Malaya dalam tempoh terdekat kerana dia sentiasa sedia untuk berjuang demi negara tercinta.
“Saya hadir atas jemputan Datuk Hamidin dan saya juga rindu akan detik-detik menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dan ini buatkan saya sedih kerana tidak dapat bersama pasukan sejak sekian lama mewakili negara.
“Di sinilah tempat saya berjuang bersama rakan-rakan tetapi hari ini saya hadir sebagai tetamu dan melihat mereka berlatih serta berjumpa dengan barisan kejurulatihan dan saya rasa tidak lama lagi saya akan kembali dengan berkat doa semua pihak.
“Sekarang masa untuk saya dapatkan kembali prestasi dan kekuatan sebelum jurulatih akan membuat keputusan sama ada saya sudah bersedia kerana saya masih perlukan masa untuk dapatkan prestasi asal saya,” katanya dalam keadaan sebak.
Faisal turut menyatakan ketua jurulatih, Pau Marti Vicente sudah menemui dirinya minggu lalu dan menyatakan yang dia tidak akan memaksa Faisal untuk kembali ke dalam pasukan sebaliknya menunggu dirinya benar-benar bersedia untuk kembali mewakili negara.
“Ketua jurulatih ada menemui saya minggu lalu dan dia kata dia tidak mahu ‘push‘ saya terlalu awal untuk kembali serta memberi ruang untuk dapatkan semula prestasi kerana dia dan saya sudah mengenali satu sama lain sejak dua tahun lalu,” jelasnya.
Kehadirannya di Wisma FAM disambut gembira oleh rakan-rakan sepasukan yang turut meluangkan masa bergurau dan bertanyakan khabar kepadanya sekali gus mewujudkan suasana ceria pada hari pertama kem kebangsaan.