PEMAIN sayap lincah negara, Faisal Halim menyatakan dia bersedia menyahut cabaran Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon supaya dia menjadi penjaring terbanyak Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 walaupun sedar ianya adalah tanggungjawab yang sangat besar.
Baginya bukan mudah untuk dirinya menyamai rekod yang dipegang Safee Sali ketika muncul penjaring terbanyak ketika Piala Suzuki AFF 2010 namun dia akan gunakan cabaran ini untuk menjadikan dirinya lebih berjaya.
Faisal turut gembira dengan dua jaringan yang dilakukannya ketika menentang Laos namun fokusnya lebih kepada membawa pasukan lebih jauh dan bukannya mengejar jaringan gol.
“Jurulatih Kim Pan Gon mahu saya menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan ini. Sebenarnya ianya adalah tanggungjawab yang besar untuk diri saya tetapi saya ambil cabaran ini dan letak dalam diri saya untuk saya lebih berjaya.
“Saya sahut cabaran coach KPG. Namun itu tidak penting sebenarnya kerana apa yang penting saya mahu pasukan kita mara ke perlawanan akhir. Sekarang saya sudah jaringkan tiga gol, namun bukan gol yang saya cari tetapi mahu bawa pasukan pergi dengan lebih jauh dalam kejohanan ini,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Selain itu, Faisal juga mengakui kesalahannya apabila membuat kenyataan media berhubung kemelut dengan bekas pasukannya Terengganu FC ketika masih bersama kelab itu beberapa bulan lalu.
Dia menyatakan tidak berpuas hati apabila pihak kelab hanya mengambil tindakan memotong gaji bulan terakhirnya tanpa memberi sebarang surat amaran terlebih dahulu.
“Betul saya mengaku salah, tetapi buatlah cara yang betul, bagi surat pada saya, bagi surat potong gaji barulah saya boleh terima sebab itu memang salah saya dan saya mengaku kesalahan saya, tapi bila saya dah keluar dari Terengganu baru buat.
“Saya tiada masalah dengan Terengganu, benda ni dah habis dan Alhamdulillah sekarang saya sudah masuk Selangor FC dan saya hormati Terengganu, tapi apabila sampai tahap macam ini saya tidak boleh tahan, saya tak boleh sabar.
“Saya tidak kisah kalau mereka nak potong gaji, potong lepas saya buat kenyataan, dua tiga hari bagi surat amaran dan potong bulan Oktober dan bukannya potongan pada gaji terakhir sebanyak 15 peratus,” katanya.
Sebagai rekod, Faisal Halim membantu Terengganu FC layak ke Piala AFC musim hadapan selepas menamatkan liga di tangga kedua dan juga muncul naib juara Piala FA selepas tewas di final 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim.