KEADAAN pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim dilaporkan semakin baik dengan dia sudahpun dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa selepas hampir seminggu terkena simbahan asid dalam perbuatan khianat di sebuah pusat beli belah.

Faisal juga dilaporkan sudah mula bertambah selera makan dengan boleh memakan diet normal dan dia juga dikatakan sudah mula mengidam nasi kandar sekaligus menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang bercakap kepada media selepas berbincang dengan doktor pakar sebuah hospital di Shah Alam pada Selasa.

Shahril Mokhtar positif dengan perkembangan terbaharu Faisal Halim

“Hari ini adalah hari yang lebih baik berbanding Jumaat dan Faisal telah dipindahkan dari ICU ke wad biasa namun pelawat masih tidak dibenarkan kerana keadaan masih sensitiif namun dia stabil dan Faisal akan kekal di hospital lebih kurang dua minggu lagi dan masih diselia secara teliti oleh doktor.

“Pakar masih memantau dan pembedahan seterusnya akan berlaku minggu depan sama ada Isnin atau Selasa selepas prosedur ‘skin allograft‘ dilakukan dan dia tunjukkan tindak balas yang baik.

“Prosedur minggu hadapan adalah langkah keempat dengan kulit dari bahagian lain akan ditampal pada tempat yang cedera iaitu di bahagian tangan kirinya yang paling teruk terjejas,” katanya.

Faisal Halim yang melecur di bahagian badan akibat simbahan asid.

Pihak kelab juga tidak mahu bercerita lanjut mengenai perkembangan bola sepak kepada Faisal kerana mahu dia menumpukan perhatian kepada proses pemulihannya.

“Saya difahamkan percakapan dia semakin lancar menerusi ‘voice note‘ dan selera makan juga bertambah dengan boleh makan normal diet dan dia teringin nasi kandar. Kami juga tidak mahu pemikiran dia terganggu dan hanya mahu fokus proses pemulihan dia,” jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, Shahril juga mahu pihak polis menjalankan siasatan segera berhubung kes ini tetapi dia tidak boleh memberikan komen mengenai perkara ini dan menyerahkan segalanya kepada mereka yang berwajib.