PEMAIN sayap kiri kebangsaan, Faisal Halim bersyukur kepada Tuhan apabila akhirnya dia kembali menemui sentuhan penyudah selepas buntu untuk mencipta jaringan sejak berpindah dari Terengganu FC ke Selangor FC musim ini.

Faisal akhirnya berjaya menjaringkan gol ketika membantu Malaysia menewaskan Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim Tunku, Iskandar Puteri pada Selasa.

Dia yang kelihatan menitiskan air mata kegembiraan sejurus menjaringkan gol turut bertindak sebagai pengumpan untuk gol pertama Malaysia selepas melorongkan bola untuk Akhyar Rashid menghasilkan gol pertama pada minit ke-18 perlawanan.

“Saya amat bersyukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya saya dapat melaksanakan tanggunjawab untuk membantu pasukan kebangsaan meraih kemenangan dalam perlawanan menentang Hong Kong dan ianya cukup beri kesan mendalam buat diri saya.

“Sepatutnya saya menjaringkan lebih gol, namun bukan rezeki untuk saya dan ditakdirkan hanya satu gol sahaja yang mampu saya lakukan tapi ianya sudah memadai kerana kami beraksi dalam satu pasukan dan sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.

“Tidak dinafikan kelibat Darren dan Akhyar kerap membantu saya pada perlawanan itu selain pemain di belakang seperti Paulo dan Dion yang sentiasa beri sokongan untuk saya mengekalkan momentum permainan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pemain yang mesra disapa Mickey itu juga menegaskan bahawa semua pemain sudah memahami kehendak jurulatih yang mahukan persembahan yang berkualiti dan berintensiti tinggi namun ianya memerlukan sedikit masa lagi untuk mencapai sasaran itu.

Perkara ini tidak boleh dielakkan tatkala pemain yang hadir menjalani latihan berbeza dan memerlukan masa untuk mengadaptasi corak permainan yang dipamerkan oleh setiap pemain dan ianya bukanlah situasi yang membimbangkan sebaliknya boleh dipertingkatkan dalam tempoh singkat.

“Mungkin ada ketika kami tidak mencapai apa yang KPG mahukan namun kita dapat menjalankan tangunggjawab yang baik selepas meraih dua kemenangan pada perlawanan antarabangsa sekali gus meningkatkan lagi motivasi setiap pemain.

“Apapun ia belum yang terbaik untuk skuad kebangsaan kerana kita perlu banyak melakukan penambahbaikan dan semua pemain perlu bekerja keras dan tidak boleh menoleh ke belakang malah harus terus bangkit dengan kualiti permainan yang lebih berintensiti tinggi,” tambahnya.

Faisal juga menyatakan Kim Pan-gon ada bergurau dengannya dengan menyuruhnya menukar warna rambut sekiranya gagal menjaringkan gol dan ianya tidak berlaku dan menjadikan gol ini sebagai pemangkin untuk meningkatkan lagi prestasi.