TONGGAK utama skuad Harimau Malaya, Faisal Halim enggan meletakkan harapan lebih tinggi untuk golnya berada di Anugerah Puskas Fifa.
Namun, jika jaringan terbaik Piala Asia 2023 yang dilakukannya itu berhasil disenaraikan ke dalam Puskas, Faisal cukup berbesar hati dan gembira akan peluang yang bermakna itu.
Terdahulu, FLASH SUKAN sudah melaporkan bahawa pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) secara rasmi mengumumkan gol yang dicipta Faisal telah berjaya menerima ‘Goal Of The Tournament’ pada kempen Piala Asia 2023 menerusi undian terbanyak oleh para penyokong.
“Pada saya, jika gol saya ini disenaraikan ke Puskas (Fifa), ia sememangnya memberi makna cukup besar kepada saya. Saya sebagai pemain amat berbangga jika layak disenaraikan.
“Jika layak, peluang untuk menang sudah tentu jauh sekali dalam anugerah tersebut, tetapi kalau rezeki kita tidak tahu. Saya dah menang untuk anugerah Piala Asia ini pun sudah bermakna bagi saya.
“Ia satu anugerah terbesar dalam hidup saya dan memori ini akan saya ingat sampai bila-bila. Buat masa ini, saya enggan memikirkan soal Puskas dan saya ingin fokus untuk pasukan kebangsaan dan kelab saya sendiri,” ujar pemain Selangor FC itu.
Dalam masa yang sama, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan tahniah dan rasa gembiranya terhadap pencapaian anak buahnya itu.
Beliau telah melakukan satu hantaran menerusi InstaStory yang memperlihat keterujaannya, “Tahniah Faisal! Malaysia indah!.”
Malaysia pernah menggemparkan dunia apabila memenangi Anugerah Puskas 2016 menerusi sepakan percuma jarak jauh Faiz Subri yang dikatakan melawan hukum fizik.
Gol itu berjaya melepasi tapisan awal yang dilakukan pakar teknikal dan jurulatih hingga disenaraipendekkan kepada lima gol terbaik, sebelum ia dibuka secara dalam talian untuk diundi oleh jutaan peminat bola sepak dari seluruh dunia.