KEMASUKAN pemain sensasi, Faisal Halim pada separuh masa kedua antara sorotan utama kemenangan pasukan Selangor FC ke atas pasukan dari Pantai Timur, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC)
Pemain berusia 26 tahun itu melakukan penampilan pertama secara kompetitif semenjak insiden simbahan asid menimpanya pada 5 Mei lalu, dengan aksi terakhirnya berlaku dua hari sebelum itu ketika bertemu Geylang International.
Faisal yang mengenakan topeng hitam dibawa masuk pada minit ke-87 bagi menggantikan Reziq Bani Hani. Dia juga hampir menjaringkan gol apabila tandukan bola daripadanya mengenai palang gol.
Terdahulu, pasukan Merah Kuning terpaksa mengerahkan kudrat yang lebih sebelum berjaya mendapatkan tiga mata selepas menumpaskan skuad Kijang Emas 2-0 dalam saingan Liga Super petang tadi.
Kedua-dua gol itu berjaya dihasilkan pada separuh masa kedua perlawanan menerusi Ronnie Fernandez pada minit ke-66 dan 86 menerusi sepakan penalti.
Meskipun mendominasi perlawanan, Selangor buntu untuk memecah tembok pertahanan Kelantan Darul Naim yang bertahan dengan begitu baik sepanjang 45 minit pertama.
Antara peluang yang hadir pada babak pertama menerusi tandukan Safuwan Baharudin pada minit ke-9 namun percubaannya berjaya dikeluarkan oleh pertahanan KDN FC.
Peluang juga datang menerusi Ronnie Fernandez, namun sentuhannya di depan pintu gol yang dijaga oleh penjaga gol KDN FC, Khatul Anuar Md Jalil melepasi palang.
Menuju minit akhir separuh masa pertama, skuad kendalian Nidzam Jamil hampir dikejutkan pasukan pelawat, namun peluang pemain import, Valdumar Augusto gagal disudahkan dengan kemas.