PENYERANG kebangsaan, Faisal Halim mencuri tumpuan ramai apabila berjaya menjaringkan satu gol ketika membantu Malaysia mengikat Republik Korea 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2023 pada Khamis.

Jaringan kelas dunia yang dihasilkan pada minit ke-51 itu membakar semangat para pemain sebelum dia mencipta peluang buat Arif Aiman yang menghasilkan sepakan penalti untuk Malaysia mendahului 2-1 pada satu ketika.

Kecemerlangan aksi pemain yang mesra disapa Mickey itu menyaksikan dia dipilih dalam kesebelasan terbaik MD3 Piala Asia 2023 oleh panel pemilihan sebagai salah seorang bintang yang menyerlah.

Dia diletakkan sebaris bersama-sama tonggak Iraq, Aymen Hussein dan penyerang Jepun, Ayase Ueda di bahagian serangan sekaligus memberikan penghormatan buat aksi berani Harimau Malaya ketika menentang lawan bertaraf Piala Dunia.

Harimau Malaya yang sebelum ini teruk dikecam ekoran dua kekalahan di tangan Jordan dan Bahrain sekaligus tersingkir dari kejohanan, mempamerkan aksi yang mantap untuk mengikat Taeguk Warriors di minit-minit akhir perlawanan.

Ianya sekaligus memberikan satu mata berharga buat Malaysia untuk tidak pulang dengan tangan kosong sekaligus menepati sasaran awal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kejayaan dan penghormatan ini seharusnya menjadi pemangkin semangat buat anak-anak buah Kim Pan-gon untuk terus beraksi cemerlang menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Muscat dan Bukit Jalil pada Mac.

Kemenangan keatas Oman dalam kedua-dua perlawanan akan meyaksikan Harimau Malaya layak secara automatik ke saingan Piala Asia 2027 di Arab Saudi serta layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.