JANGAN hanya layak, Muhammad Aniq Kasdan perlu hadirkan saingan sengit kepada pesaingnya.
Begitulah cabaran yang dilemparkan bekas atlet angkat berat negara, Faizal Baharom kepada Aniq Kasdan yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Faizal yang pernah beraksi di Olimpik Athens 2004 dalam kategori bantamweight berkata, potensi Aniq sudah dapat dilihat sejak beberapa tahun lalu dan menjadi antara atlet angkat berat terbaik negara buat masa ini.
“Saya percaya untuk Olimpik kali ini, dia bukan sekadar layak tetapi saya yakin dia mampu memberi cabaran sengit kepada atlet lawan yang merebut pingat ketika pertandingan berlangsung,” katanya.
Faizal yang kini menjadi jurulatih Republik Ireland, menganggap kejayaan Aniq setidak-tidaknya memadamkan episod duka ketiadaan wakil negara dalam sukan berkenaan pada Temasya Tokyo 2020.
“Usaha gigih persatuan (Persekutuan Angkat Berat Malaysia) akhirnya berjaya memastikan bahawa sukan angkat berat sentiasa berjuang dan pda akhirnya berjaya (ke Olimpik).
“Saya berharap Aniq selepas ini mengikut segala perancangan jurulatih. Terus bersemangat tinggi dan buktikan sukan angkat berat sebaris dengan sukan-sukan lain di Malaysia serta perlu diberi perhatian kelak,” kata Faizal.
Aniq layak diri secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas kejohanan kelayakan terakhir di Phuket, Thailand 2 April lalu.
Berdasarkan ranking Olimpik, Aniq menduduki tempat kelapan dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan angkatan 296kg.
Aniq layak berdasarkan jumlah angkatan itu di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember tahun lalu.