BELUMPUN saingan Piala Negara-Negara bermula, kem kebangsaan mula terasa bahangnya apabila tonggak serangan, Faizal Saari mengalami kecederaan.
Menurut Ketua Jurulatih, Sarjit Singh, Faizal mengalami kecederaan lutut pada sesi latihan dua hari lalu.
Justeru, beliau memutuskan Faizal Saari tidak diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang New Zealand, bagi memberinya peluang pulih sepenuhnya dari kecederaan lutut yang dialami dalam sesi latihan, dua hari lalu.
“Bola terkana lututnya tetapi ia bukan kecederaan serius. Dia dijangka pulih tidak lama lagi dan pasukan akan menghadapi perlawanan persahabatan seterusnya menentang Afrika Selatan, hari ini,” kata Sarjit.
Dalam pada itu, Sarjit mengakui pasukan bergelut menyesuaikan diri dengan padang yang tidak rata dan cuaca panas terik di Poland.
Begitupun, Sarjit tetap lega serta menganggap keputusan tiba awal di bumi Poland adalah satu keputusan tepat.
Ketika ini, Speedy Tigers dalam persiapan terakhir sebelum menghadapi saingan Piala Negara-Negara di sana (31 Mei -9 Jun) mula menjalani latihan rasmi di venue kejohanan iaitu Stadium Hoki Nasional di Gniezno.
“Saya sangat gembira tiba awal di sini (Jumaat) kerana pemain boleh menyesuaikan diri dengan cuaca, kerana ia sangat panas.
“Tambahan pula, padang di sini tidak rata dan tentunya mendatangkan kesukaran kepada pemain untuk membiasakannya,” kata Sarjit, selepas skuad negara menjalani perlawanan persahabatan menentang pasukan ranking ke-11 dunia, New Zealand di venue kejohanan.
Menurutnya, padang di Gneizno menggunakan rumput hijau tua agak bergelombang dan permukaannya tidak rata, jauh berbeza dengan padang biru yang digunakan di Malaysia.
“Pemain New Zealand juga mendapati sukar untuk menyesuaikan diri untuk bermain di permukaan bergelombang ini,” tambah Sarjit sambil memberitahu bahawa New Zeland dan Austria tiba di Poland lebih awal untuk menyesuaikan diri.
Mengulas mengenai situasi itu, beliau berharap para pemain tidak cemas dan gusar, sebaliknya segera menyesuaikan diri dengan padang.
Pada aksi pemanas badan itu, Speedy Tigers tewas 4-1 kepada New Zealand, namun Sarjit menganggap keputusan itu memberi banyak input berguna kepada pasukan yang dibarisi enam muka baharu, malah beliau memberikan semua pemain peluang untuk beraksi.
Antara pemain yang baru bergabung bersama pemain senior adalah kapten Piala Dunia Remaja 2023, Faris Harizan, T Naeveenash Panicker, Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana, Kamarulzaman Kamaruddin dan Arif Syafie Ishak.
Menurutnya, keenam-enam pemain itu tidak berada dalam skuad yang memperkuat pasukan pada kempen Piala Sultan Azlah Shah di Ipoh baru-baru ini.
Dalam kempen Piala Negara-Negara kali ini, Malaysia beradalam kumpulan B, akan membuka saingan menentang Pakistan, Jumaat ini pada jam 5.30 petang (waktu Malaysia), menentang Perancis pada Ahad jam 9.30 malam, dan melawan Kanada pada Rabu jam 9.30 malam.
Pada edisi lalu di Potchefstroom, Afrika Selatan, Speedy Tigers menamatkan saingan di kedudukan keempat, di belakang Korea Selatan (ketiga), Ireland (kedua) dan Afrika Selatan (juara).