PASTI ramai tidak mengenalinya kerana tidak beraksi dalam acara riben biru, namun kemampuan melakar nama sebagai pemegang rekod kebangsaan acara 400 meter (m) lari berhalangan pada usia 20 tahun, tetap satu pencapaian memberangsangkan.

Muhammad Fakrul Afizul Nasir, menjalani latihan di Sekolah Sukan Negeri Pahang menjadi antara nama yang perlu diberi perhatian selepas merakam melakukan catatan 51.26 saat (s) di Kejohanan Remaja Asia bawah 20 tahun di Korea pada Jun tahun lalu.

Muhammad Fakrul Afizul Nasir bersama pingat yang dimenangi pada Sukma. |Foto Facebook 

Atlet yang berlatih di bawah bimbingan Amirul Naim Abdul Ghani itu memadam rekod lama berusia 18 tahun milik Mohd Shahadan Jamaluddin yang dilakukan pada Sukan Sea Manila 2005, 51.28s.

Selepas memahat nama sebagai pemilik rekod kebangsaan baharu, dia menetapkan sasaran untuk layak beraksi ke Sukan Sea Bangkok 2025, namun perlu melepasi catatan masa ketiga terbaik ketika Temasya Kemboja, iaitu 50.75s.

Pengiktirafan… Muhammad Fakrul Afizul Nasir gembira Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyampaikan pengharaan atas usahanya mencipta rekod baharu kebangsaan acara 400m berhalangan.

Kelihatan agak sukar, namun atlet berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu yakin dengan tekad dan semangat juang yang tinggi dia mampu untuk melakukannya.

“Misi saya adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Sea Bangkok. Catatan saya ketika ini berada di kedudukan keempat terbaik. Jadi saya belum layak.

Muhammad Fakrul Afizul Nasir kanan berdiri) bersama barisan atlet yang mencipta rekod kebangsaan olahraga tahun lalu.

“Tapi saya akan cuba berusaha ke arah itu kerana menjadi hasrat saya untuk beraksi di Sukan Sea nanti,” katanya.

Selain Sukan Sea 2025 di Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Disember, Fakrul juga akan beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 17 hingga 24 Ogos depan.

Penanda aras dilakar pemilik rekod kebangsaan acara 100m, Muhammad Azeem Fahmi, pasti menjadi panduan buat Muhammad Fakrul Afizul Nasir melakar kejayaan lebih besar. |Foto Facebook

Ia menjadi medan terbaik buat dirinya untuk melayakkan diri ke Sukan Sea selain menanam hasrat merekodkan rekod baharu kebangsaan.

“Sukma Sarawak adalah Sukma terakhir saya. Jadi saya harap dapat melakukan sesuatu di sana.

“Saya akan cuba untuk memecahkan rekod baharu di bawah catatan 50s. Ia adalah Sukma terakhir saya dan saya mahu buat yang terbaik untuk Kelantan,” katanya.