Kredit Foto: KDA FC
PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain mengakui tiada apa yang perlu dikeluhkan dengan persembahan pemainnya meskipun tewas dengan jaringan besar 5-2 kepada Sabah FC dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Selasa.
Dia memuji kesungguhan yang ditunjukkan anak-anak buahnya namun sedar akan kelebihan lawan selain masalah kecergasan pada akhir permainan menjejaskan peluang Sang Kenari untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata ke Alor Setar.
“Terima kasih kepada semua pemain yang menunjukkan usaha yang tinggi dengan persembahan yang baik walaupun ianya bukan keputusan yang kita inginkan kerana dibolosi dengan banyak tetapi untuk menjaringkan dua gol di Likas bukanlah perkara yang mudah.
“Kami leka pada awal permainan apabila memberikan penalti tetapi selepas itu pemain bangkit dengan persembahan yang tersusun dan mencipta beberapa peluang tetapi kita tewas apabila berlaku beberapa kesilapan mudah sepanjang permainan.
“Kita tahu Sabah akan menyerang pada 15 minit pertama dan kita melakukan kesilapan dengan memberikan penalti tetapi pemain bangkit selepas itu namun kita gagal saingi kekuatan dan kelajuan lawan selain pemain agak keletihan dan dibolosi tiga gol dengan mudah,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Nafuzi juga menjelaskan selepas bangkit dua kali menyamakan kedudukan, keletihan mula melanda pemainnya dan pada ketika ini lawan mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol dan dia bertekad untuk perbaiki masalah ini bagi menghadapi perlawanan akan datang.
“Apabila kami cuba mencari gol penyamaan, pemain mula hilang fokus dan konsentrasi yang menjadi punca kesilapan akibat keletihan dan kita perlu perbaiki prestasi untuk perlawanan selepas ini menentang Selangor FC di tempat sendiri,” jelasnya.
Kekalahan ini menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa kalah Kedah dan menyaksikan Sang Kenari kekal di tangga ke-10 dengan 13 mata selepas 13 perlawanan hasil empat kemenangan, empat seri dan lima kekalahan.