PEMAIN sayap kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani akui ingin berkelana ke bumi Eropah bagi mengembangkan karier namun terpaksa diketepikan atas faktor keluarga.

Dipetik dari laman sosial Instagram peribadinya, Saddil tetap meluahkan rasa syukur kerana masih diberi rezeki dan umur panjang dan berkhidmat dengan pasukan dari Borneo, Sabah FC.

“Saya mengambil peluang ini sekali lagi kerana segala keputusan keluarga terutama ibu telah menyokong penuh saya bersetuju untuk tinggal di Sabah. Saya harap apa yang saya perjuangkan di sini dapat dicapai bersama Sabah FC.

“Pada mulanya saya berharap saya akan belajar semula di Eropah kerana ingin memperbaiki diri, tetapi saya rasa sekarang ini amat sukar dan tidak dapat kerana banyak faktor yang perlu saya pertimbangkan untuk kebaikan keluarga saya sendiri,” ujar pemain yang baru menyambut kelahiran ke-24 pada 2 Januari lepas.

Dia juga memohon maaf kerana telah mengecewakan peminat dan semua yang sentiasa menyokong dirinya bermain di luar negara.

“Sekali lagi, sukar bagi saya kerana keluarga saya masih tidak pasti dan tidak bersedia untuk saya meneruskan kerjaya semata-mata untuk mementingkan diri sendiri.

“Saya harap apa sahaja keputusan saya bersama keluarga adalah yang terbaik untuk masa hadapan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Saddil kekal bersama Sabah FC

Saddil antara watak penting dalam skuad The Rhinos dan dia berjaya membantu pasukan itu menduduki tangga ketiga bagi saingan Liga Super 2022.

Pemain asal Raha, Indonesia sebelum ini pernah beraksi bersama Pahang pada tahun 2018 dan kembali ke Indonesia bersama Bhayangkara FC di saingan Liga 1 Indonesia sebelum menyertai Sabah FC musim lalu.