CORAK dan falsafah permainan pergerakan bola pantas atau dikenali ‘Nafuzi Ball’ di kalangan peminat bola sepak tempatan akan dikekalkan di Darul Aman untuk musim Liga Malaysia 2024-25.

Perkara ini disahkan sendiri oleh pengendali Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain yang bakal mengendalikan skuad Sang Kenari untuk tahun kedua meskipun berlaku beberapa perubahan pemain pada posisi utama.

Nafuzi juga menyatakan dia akan menggunakan beberapa siri perlawanan pramusim untuk menguji gandingan pemain sebelum dia mendapat bayangan kesebelasan utama dalam membentuk skuad yang lebih baik berbanding musim lalu.

Akmal Zahir berikan gol pendahulan buat Kedah Darul Aman FC

“Saya akan kekalkan falsafah bola sepak saya dan semua taktikal akan ditentukan berdasarkan kualiti yang ada pada para pemain terutama pemain-pemain yang baru dibawa masuk ke dalam pasukan.

“Kita akan kekalkan corak permainan dari musim lepas dengan menambahbaik beberapa bahagian yang perlu diperbaiki dan kena lihat dahulu percaturan yang terbaik sebelum memutuskan gandingan pemain kerana kualiti pemain musim ini berbeza berbanding musim lalu.

“Setakat ini kami lakukan latihan untuk mencari kecergasan dan persefahaman antara para pemain sebelum latihan sebenar akan diadakan selepas Aidilfitri dengan intensiti perlawanan sebagai persiapan menghadapi musim baharu,” katanya kepada FLASH SUKAN ketika perlawanan ujian menentang Penang FC 2 di Alor Star pada Jumaat.

Syafiq Ahmad berjaya menjaringkan gol setelah kembali ke Alor Star

Nafuzi juga turut mengakui teruja dan gembira melihat kehadiran hampir 2,000 penyokong di Stadium Sultan Abdul Halim dan dia yakin para penyokong sentiasa berada di belakang pasukan.

“Kita dah lama tak rasa suasana seperti ini kerana sudah berehat panjang dan saya rasa seronok melihat keterujaan penyokong Kedah yang sentiasa berikan sokongan buat kelab walaupun dalam perlawanan ujian,” jelasnya

Dalam aksi ujian itu, Kedah berjaya menewaskan Penang 2 dengan keputusan 4-0 hasil jaringan Akmal Zahir, Loqman Hakim, Rizal Ghazali dan Syafiq Ahmad namun Nafuzi menjelaskan perlawanan ini adalah sebaliknya ujian untuk para pemainnya mendapatkan minit permainan dan tidak terlalu fokus kepada taktikal.

Hampir 2,000 penyokong Kedah hadir memberikan sokongan kepada Sang Kenari

Kedah bakal ke Terengganu untuk aksi empat penjuru bersama-sama Penang FC, Terengganu FC dan Terengganu FC II yang akan bermula seminggu selepas Aidilfitri sebagai persiapan untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang bermula pada Mei 2024.