AEON BIG terus mengukuhkan jenamanya dalam pembabitan sukan negara, apabila menjalin kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jalinan kerjasama dengan FAM adalah rakan sukan terbaharu mereka, yang akan bermula selepas Pestabola Merdeka 2023, membabitkan kerjasama selama setahun.

Pengarah Urusan AEON Big (M) Sdn. Bhd., Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, jalinan kerjasama dengan FAM dan lain-lain terutamanya membabitkan sukan kerana beliau mahu mendekati komuniti.

“Memang ada pulangan yang kami perolehi, daripada pelbagai aspek, baik penyewa dan pelanggan baharu.” -Pengarah Urusan AEON BIG (M) Sdn. Bhd. Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

“Memang sukan sentiasa dalam hati saya, saya bermain bola walau tidak sampai ke tahap profesional, anak-anak juga semua bermain sukan.

“Mengapa sukan, kerana yang pertama, sukan adalah suatu yang dekat dengan komuniti, kedua mengutamakan disiplin dan kerja sepasukan.

“Saya mengambil pendekatan menggunakan disiplin, kerjasama seperti sukan, sebagai sampel setiap pekerjaan dengan pasukan saya,” katanya, ditemui selepas Pelancaran Pestabola Merdeka 2023 dan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Satu lagi pencapaian dicapai AEON BIG yang meneruskan jalinan kerjasama bersama persatuan sukan, kali ini bersama FAM.

Pada majlis yang turut dihadiri legenda bola sepak yang pernah beraksi dalam saingan Pestabola Merdeka sejak tahun 1980, serta skuad kebangsaan ketika ini, AEON Big menerima kunjungan ramai peminat Harimau Malaya.

“Pelan pemasaran kami tahun ini adalah menggunakan sukan sebagai platform mendekati komuniti kerana sukan baik bola sepak, olahraga, badminton dan sebagainya amat dekat dengan komuniti tanpa mengira latar belakang, B40, M40, T20.

“Kami sudah lapan bulan menjalin kerjasama dengan bola sepak terutamanya Selangor FC, MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan hari ini bersama FAM.

Kehadiran legenda bolasepak tanahair dan skuad Harimau Malaya, menarik masyarakat mengunjungi AEON BIG Wangsa Maju.

“Memang ada pulangan yang kami perolehi, daripada pelbagai aspek, baik penyewa baharu, pelanggan baharu yang sebelum ini tidak pernah ke AEON Big, malah ada di antara masyarakat tidak tahu premis kami ada berdekatan dengan tempat tinggal mereka, jadi melalui program sebegini, mereka mengenali kami.”

Awal tahun ini, AEON Big menjalin kerjasama dengan Selangor FC, MFL dan juga Besbol.