PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan Malaysia Football League (MFL) untuk menyiasat isu yang melibatkan pasukan Kelantan FC yang dilihat jika tidak dibendung boleh memburukkan imej bola sepak tempatan.

Kini sedang tular di laman sosial mengenai masalah yang dihadapi Kelantan FC apabila ejen jurulatih dari Korea Selatan yang direhatkan dilihat telah menyebarkan pelbagai kelemahan yang melanda pasukan Pantai Timur tanah air itu.

Perkara ini telah mendapat perhatian Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan dia mahukan MFL meminta surat penjelasan daripada kelab itu sebelum mengambil tindakan.

Datuk Hamidin Mohd Amin

“Saya ada berbincang dengan Datuk Ab Ghani Hassan dan Stuart Ramalingam untuk meminta pasukan itu memberikan penjelasan dan akan menghubungi kelab itu terlebih dahulu.

“Saya tidak akan campur tangan tetapi saya sudah maklumkan kepada mereka untuk menghantar surat penjelasan kepada Kelantan dan melihat apa isu sebenarnya. Kita akan dengar dahulu penjelasan sebelum kita ambil tindakan kerana tidak mahu isu ini mencemarkan imej bola sepak negara kita,” katanya.

Kelantan FC sebelum ini telah merehatkan ketua jurulatih mereka, Choi Moon Sik 40 minit sebelum sepak mula perlawanan Liga Super bertemu Terengganu pada Selasa selepas hanya memenangi satu perlawanan dari lima aksi sejak dinaikkan pangkat ke Liga Super.

 

Tindakan itu menyebabkan ejen jurulatih itu memuat naik pelbagai tohmanan memalukan kepada Kelantan di laman sosial seolah-olah mahu mendapatkan penjelasan dan pampasan daripada pemilik kelab dan mahu mengheret Kelantan ke Fifa.