PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mempunyai pilihan bagi pusat latihan bagi semua skuad kebangsaan apabila ditawarkan untuk menggunakan Seriemas Sportsplex yang sedang dalam pembinaan di Nilai.

Seriemas Sportsplex yang dibina di Kota Seriemas milik penuh PNB Development dan akan diuruskan oleh RS Group bakal menyaksikan dua padang sintetik dan tiga gelanggang futsal sedang dibina mengikut spesifikasi FIFA.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin melancarkan majlis pecah tanah Seriemas Sportsplex yang bakal siap sepenuhnya pada suku pertama 2023 dan gembira dengan tawaran yang diberikan oleh PNB Development itu.

Datuk Hamidin Mohd Amin

“Saya bagi pihak FAM gembira dan berbesar hati dengan tawaran yang diberikan kepada kami dan pihak FAM akan mempertimbangkan sama ada akan menggunakan fasiliti ini sebagai pusat latihan atau menjadi venue untuk bengkel kejurulatihan dan juga pengadil,” katanya.

Turut gembira dengan pembinaan Seriemas Sportsplex ini adalah Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Malek Hassan yang turut dipelawa oleh pemaju untuk digunakan oleh pasukan dibawah kelolaan PBNS.

“Kami kini mempunyai kemudahan padang sintetik di Kahang tetapi ini adalah perkembangan yang baik buat pembangunan bola sepak di Negeri Sembilan khususnya di Nilai ini,” katanya.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif PNB Development Berhad, Megat Rozlan Abdul Rahman yang mahu projek ini menjadi lambang pulangan manfaat sosial kepada penduduk setempat.

“Projek ini adalah simbolik kepada kami sebagai pembangunan untuk melabur dan mendapatkan keuntungan dari segi kewangan dan juga bukan kewangan kepada penduduk kawasan ini dengan menjadikan trend gaya hidup sihat sebagai pencetus idea kepada projek ini,” katanya.

Padang sintetik yang diimport dari Turkiye ini sudah terbukti ketahanannya kepada cuaca ekstrim negara ini dan ianya juga bakal mendapat sijil penarafan dari FIFA sekaligus mampu bertindak sebagai venue perlawanan antarabangsa.