PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman percaya bahawa sasaran optimis Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon untuk melepasi peringkat kumpulan Piala Asia 2023 adalah sasaran peribadinya sebagai jurulatih.
Sebelum ini Pan-gon telah menyatakan kenyataan itu selepas aksi persahabatan antarabangsa yang menyaksikan Harimau Malaya menewaskan Papua New Guinea 10-0 di Kuala Terengganu.
Situasi itu agak berbeza apabila Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini menyatakan mengutip satu mata dalam peringkat kumpulan Piala Asia juga boleh dianggap sebagai satu keputusan positif.
LENSA FLASH
Sekitar Kongres Tahunan FAM kali ke-59 2023 yang dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin di Petaling Jaya.@FAM_Malaysia#FAM pic.twitter.com/sNZR44PQZ3
— Flash Sukan (@FlashSukan) July 1, 2023
“FAM belum tetapkan lagi sasaran untuk ke Piala Asia dan jika Pan-gon berkata demikan, itu adalah sasaran peribadinya. Sudah pasti sebagai jurulatih, dia mahukan yang terbaik dengan meletakkan sasaran tertinggi tetapi bagi kami, kata putus hanya akan dimaklumkan sebelum berlepas ke Qatar nanti,” katanya ketika ditemui Kongres FAM kali ke-59 di Petaling Jaya pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi mengesahkan antara perbincangan yang dilakukan dalam kongres kali ini adalah pindaan beberapa statut yang dipersetuju oleh kesemua ahli kongres.
Antara pindaan statut yang dibuat adalah setiap ahli eksekutif dari Presiden hingga ke exco hanya boleh menyandang jawatan maksimum selama tiga penggal sahaja.
“Kita ada buat pindaan statut seperti Exco selepas ini hanya boleh menyandang jawatan mereka dalam persatuan selama tiga penggal sahaja selain hanya satu ahli setiap perwakilan yang boleh melakukan undian,” katanya.