PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman telah memberikan penjelasan berhubungan isu penggantungan pemain Selangor FC, Faisal Halim yang didapati bersalah melanggar beberapa kod etika FAM.

Faisal Halim telah digantung selama satu bulan berkuatkuasa serta merta selepas dia didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April 2023.

“Saya dengan ini mengesahkan bahawa pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim telah pun dikenakan hukuman penggantungan selama sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang pada Selasa.

“Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya ketika sesi temu ramah media selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April 2023.

“Mengikut keputusan, Faisal sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November 2023. Bagaimanapun, Faisal hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos 2023) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.

“Untuk makluman semua, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu merupakan salah satu Badan Kehakiman FAM iaitu sebuah badan bebas yang terdiri daripada antara lain individu-individu berlatarbelakangkan profesion pengamal undang-undang sebagai ahli-ahli jawatankuasanya.

“Surat rasmi mengenai pemakluman keputusan kes-kes tersebut telah pun dihantar kepada Selangor FC, pada Rabu.

“Walau bagaimanapun, Faisal tetap diberikan peluang membuat rayuan rasmi terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan ke atasnya itu untuk dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM,” tulis kenyataan itu.

Selangor FC juga telah mengeluarkan kenyataan media menyatakan Faisal akan digantung untuk perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim, Kuala Lumpur City FC, Negeri Sembilan FC dan kedua-dua perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM FC.