PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin membincangkan kerjasama dua hala bersama FA Jerman dalam usaha memperkasakan lagi bola sepak negara.
Ini selepas Hamidin yang juga Ahli Majlis AFF untuk penggal 2022 – 2026 menghadiri Kongres Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) ke-30 2023 di Ho Chi Minh City ,Vietnam, pada Ahad dan berkesempatan bertemu dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Jerman, Bernd Neuendorf.
Dalam pertemuan dengan Neuendorf, Hamidin berkongsi pandangan dalam isu kepentingan bersama dan potensi kerjasama demi manfaat positif bola sepak Malaysia dan Jerman.
Datuk Haji Hamidin bincang kerjasama dua hala dengan Jerman
Baca Selanjutnya di:https://t.co/CQttaKticZ#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/I7Ej7pUxzr
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 1, 2023
“Misi utama dua negara ini ialah mewujudkan kerjasama yang lebih erat dengan berkongsi kepakaran dan sumber, pada masa yang sama menyokong pembangunan bola sepak negara masing-masing.
“Ini adalah peluang yang baik untuk kita bertukar-tukar pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai aspek termasuk pasukan kebangsaan, pembangunan akar umbi dan belia juga prestasi pemain,” katanya.
Dalam pada itu, Hamidin yang juga Ahli Majlis Fifa turut bertemu dengan Presiden Persatuan Bolasepak Afrika Selatan, Dr Danny Jordaan, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak DiRaja Belanda, Gijs de Jong dan Pegawai Perhubungan Awam dan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak DiRaja Belgium, Hedelli Sassi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jerman, Afrika Selatan, Belanda dan Belgium kerana meluangkan masa untuk membincangkan potensi kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala dengan Malaysia. Saya yakin kerjasama ini akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang,” tambahnya.
Kongres yang dipengerusikan oleh Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth turut disusuli mesyuarat majlis kali keempat badan induk itu untuk sesi 2022/2026 yang turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman serta wakil-wakil ahli gabungan AFF.