KELAB Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan insiden melibatkan dua kejadian berasingan di negeri itu pada tahun ini.

Insiden pertama berlaku semasa perlawanan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023 antara JDT  lwn Selangor MAC di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada 27 Mei 2023.

“JDT dihukum atas kesalahan melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM akibat daripada kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan penyokong JDT mengejek, melakukan provokasi terhadap penyokong pihak lawan dan kemudiannya telah mengerumuni, mengejar dan menyerang penyokong pihak lawan sebelum sempat mereka menaiki bas.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim didenda RM15,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” menurut kenyataan FAM pada Isnin.

May be an image of text

Insiden kedua, seorang penyokong pasukan Kuala Lumpur City FC telah dipukul oleh individu yang tidak dikenal pasti sehingga menyebabkan kecederaan yang serius semasa Final Piala FA 2023, JDT dan Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 22 Julai 2023.

“FAM memutuskan kesalahan kerana melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM akibat daripada kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran dan didenda RM15,000,” menurut kenyataan rasmi FAM yang dipengerusikan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali ke-14 bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.