PENGURUSAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka ‘berwajah’ baharu apabila dikatakan akan menyertai Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Ia berikutan satu komen Tunku Mahkota Ismail yang menjawab soalan pengguna media sosial mengenai bila beliau akan menyertai FAM.
Secara ringkas dan bermakna Tunku Mahkota Ismail menjawab; “Saya tak join FAM, FAM join saya.”
Spekulasi mengenai Tunku Mahkota Ismail akan membantu FAM dalam memberi fokus kepada pembangunan bola sepak dan pasukan kebangsaan bukan lagi rahsia memandangkan sebelum ini beliau telah menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Presiden FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Perbincangan bersama turut melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi meneliti dengan lebih mendalam rancangan pelaburan dan pembangunan bola sepak ini.
Terdahulu, Anwar telah mengumumkan dalam Belanjawan 2025 bahawa pasukan bola sepak negara akan menerima peruntukan khas sebanyak RM15 juta daripada kerajaan.
Sebagai rekod, Tunku Mahkota Ismail pernah menjadi Presiden FAM bagi penggal 2017/2021 sebelum membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya setahun kemudian.