PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin jelas kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan barisan pemain Bawah 22 Tahun (B-122) kebangsaan ketika temasya Sukan SEA Ke-32 di Kemboja dan akan melihat dahulu laporan barisan kejurulatihan untuk dinilai.
Hamidin juga sedar bahawa ini adalah kali pertama E. Elavarasan membawa pasukan ini ke Sukan SEA dan dia masih ada dua kejohanan yang bakal dihadapi dan akan menyediakan laporan untuk dinilai pada minggu hadapan.
“Saya dan FAM sudah tentu kecewa. Kalau kita lihat ini adalah kali pertama Elavarasan membawa pasukan B-23 ini di Sukan SWA. Kita akan lihat dahulu laporan daripada dia untuk dinilai barisan teknikal dan akan tengok secara keseluruhan.
“Dia ada dua kejohanan lagi musim ini iaitu Kejohanan AFF B-23 dan Kelayakan AFC B-23 untuk ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik Paris tahun hadapan. Kita akan tunggu laporan dari pasukan teknikal berkaitan prestasi pasukan di Sukan SEA,” katanya ketika ditemui di Majlis Hari Raya Aidilfitri 2023 FAM-MFL-AFL di Kelana Jaya.
Skuad kebangsaan gagal mencapai sasaran yang diletakkan FAM untuk layak ke final acara bola sepak lelaki di Sukan SEA apabila gagal layak ke separuh akhir apabila tewas kepada Thailand dan Vietnam di peringkat kumpulan.
Namun begitu, skuad muda negara berjaya mencatat nota positif apabila menjaringkan 13 gol dalam empat perlawanan hasil dua kemenangan besar keatas Kemboja 5-1 dan 7-0 keatas Singapura.