TONGGAK Selangor FC, Faisal Halim kekal di gantung selama sebulan sehingga 23 Ogos depan, tetapi dia dibenarkan untuk berlatih bersama pasukan serta-merta untuk kekal cergas.

Hukuman itu diputuskan Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat buat kali keenam bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Jumaat.

“Jawatankuasa bersetuju untuk memberi kelonggaran membenarkan Mohamad Faisal kembali turun menjalani sesi latihan bersama Selangor FC berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan beliau dapat mengekalkan tahap kecergasannya sebagai seorang pemain bola sepak.

“Penggantungan selama sebulan dari 25 Julai hingga 23 Ogos 2023 adalah dikekalkan,” menurut kenyataan FAM.

Semasa kempen pembukaan aksi pusingan 16 Piala Malaysia, Faisal terlepas aksi ketika Selangor melakar kemenangan besar 4-1 menentang PDRM FC.

Dalam pada itu, mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh CP (Bersara) Datuk Seri Mohammad Mokhtar Mohamad Shariff selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan turut membincangkan tiga lagi kes lain.

“Bagi tiga kes pertama iaitu membabitkan penyokong Johor Darul Ta’zim membakar suar, rayuan yang dikemukakan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim telah ditolak, sekali gus hukuman denda berjumlah RM120,000 bagi ketiga-tiga kes berkenaan adalah dikekalkan,” katanya.