PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebagai penaja utama skuad Harimau Malaya dan FAM.

Menerusi perjanjian ini, MAB akan menjadi penaja utama FAM dan Harimau Malaya selama tiga tahun bermula Januari 2024 sehingga Disember 2026.

Majlis pemeteraian perjanjian antara dua entiti itu telah berlangsung di Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.

Pemeteraian perjanjian ini dilakukan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Ketua Pegawai Komersial Penerbangan MAB, Dersenish Aresandiran.

Turut menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian ialah Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi.

“Jalinan kerjasama di antara FAM dan MAB bukan sahaja mencerminkan kesetiaan tetapi ia turut menunjukkan dedikasi serta komitmen mereka (MAB) terhadap arena bola sepak negara.

“Ia juga memberi mesej penting kepada penyokong-penyokong skuad kebangsaan di luar sana bahawa FAM bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada barisan penaja-penajanya malah dapat memberi impak yang positif terhadap sektor ekonomi negara.

“Saya percaya dengan kehadiran MAB sebagai penaja utama FAM dan skuad bola sepak kebangsaan, pelbagai kejayaan akan dapat digapai bersama,” kata Hamidin.

Hamidin juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada MAB atas sokongan yang telah diberikan sejak 2019.

Selain FAM, MAB juga telah menjalin kerjasama komersial dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United sekali gus memperkukuhkan lagi jenama syarikat penerbangan itu di pentas antarabangsa.