NAMPAKNYA skuad Harimau Malaya masih kekal bernaung di bawah khidmat Ketua jurulatih, Kim Pan-gon sehingga tamat kontraknya iaitu pada tahun 2025.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan yang dilakukan mengenai nasib jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, walaupun gagal memacu pasukan ke peringkat Kelayakan Piala Dunia 2026 seterusnya.

Baru-baru ini, Malaysia menang 3-1 ke atas Chinese Taipei dalam aksi terakhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 namun keputusan itu tidak cukup untuk melayakkan Malaysia ke pusingan ketiga.

Aksi antara Malaysia dan Chinese Taipei tempoh hari.

Bagaimanapun, pihak FAM yang diwakili Yusoff telah meluahkan rasa bangga dan puas hati akan jasa Pan-gon, dalam membawa skuad kebangsaan ke satu titik yang jauh dan mendapatkan 10 mata berharga dalam kempen kelayakan tersebut.

“Kita agak kecewa kerana tak dapat lepasi pusingan seterusnya tetapi ini menunjukkan pasukan kita sudah berada di peringkat Asia. Sebelum ini mungkin kita lihat kita di peringkat ASEAN sahaja.

“Jadi setakat ini, tiada perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan mengenai status kontrak Pan-gon dan kita akan ikut kontraknya yang ada sehingga tahun hadapan.

Kim Pan Gon, pengendali skuad Harimau Malaya.

“Ini bermakna, Pan-gon akan kekal sehingga 2025 dan segala perlawanan yang ada sebelum kontraknya tamat, akan diteruskan olehnya,” menurut Yusoff ketika dalam sesi sidang media.

Terdahulu, Pan-gon sendiri telah menegaskan bahawa dirinya mahu kekal bersama Harimau Malaya dan tidak mengambil sebarang keputusan untuk meninggalkan pasukan kesayangannya.

Malaysia perlu melupakan hasrat untuk ke pusingan seterusnya Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas gagal meraih jurang jaringan besar dalam perlawanan menentang Chinese Taipei pada tempoh hari.