DEMI kebaikan bola sepak negara, ‘ekor Harimau Malaya’ diminta  membuat pertimbangan semula tindakan ‘mengugut’ yang dibuat terhadap penganjuran Pestabola Merdeka 2024.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil maklum mengenai tindakan beberapa kumpulan penyokong termasuk Ultras Malaya yang dikatakan mahu memboikot kejohanan itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berharap ‘ekor Harimau Malaya’ itu membuat pertimbangan sewajarnya.

“FAM menyeru penyokong-penyokong Harimau Malaya yang lain, sama ada secara individu, keluarga atau berkumpulan supaya dapat kekal meneruskan sokongan mereka.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman mohon Ultras Malaya pertimbangkanniat memboikot Pestabola Merdeka.

“Kami berharap mana-mana kumpulan penyokong bersama-sama hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi menyokong dan memberi semangat kepada pasukan serta para pemain Harimau Malaya pada 4 dan 8 September ini.

“Tambahan pula, Pestabola Merdeka 2024 ini berlangsung dalam Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA iaitu dari 2 hingga 10 September 2024 dan sudah tentu ia menawarkan pungutan mata untuk kita terus memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Ranking FIFA,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila beberapa cawangan Ultras Malaya mendakwa mahu memboikot kejohanan edisi ke-43 itu.

Ultras dari Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menerusi media sosial memberi alasan memboikot kejohanan selepas tidak berpuas hati dengan FAM.