PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa pihaknya kini sedang meninjau keadaan dan kesihatan terkini pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid.

Ini selepas Terengganu FC melaporkan pemain itu sudah bersedia untuk turun menjalani latihan minggu hadapan dan pihak FAM akan melawat Akhyar untuk melihat sendiri keadaan dirinya.

Akhyar telah disamun dan dipukul di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu dan kini sedang menjalani rawatan pemulihan dengan bakal terlepas perlawanan pembukaan menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Hamidin sahkan Jawatankuasa Skuad Kebangsaan akan pantau kesihatan Akhyar Rashid

“Jawatankuasa Skuad Kebangsaan dan juga Kim Pan-gon sedang menilai situasi ini dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusuf Mahadi serta barisan kejurulatihan akan melawat Akhyar Rashid mungkin pada Jumaat atau Sabtu.

“Pegawai saya memang memantau dengan pihak Terengganu dan kami bersama-sama berharap Akhyar sudah pulih dapat menyertai skuad kebangsaan untuk aksi Kelayakan Piala Dunia pada Jun nanti,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhyar dijangka kembali berlatih minggu depan

Dalam perkembangan yang sama, Hamidin turut menyatakan bahawa dia dan Kim Pan-gon sudah duduk berbincang mengenai pemain yang akan menggantikan tempat Akhyar sekiranya dia masih tidak dibenarkan untuk beraksi.

Ini kerana, Malaysia perlu untuk memenangi perlawanan di Bishkek pada Jun bagi memastikan laluan ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 kembali terbuka sebelum bertemu Chinese Taipei dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Skuad Harimau Malaya

“Kim Pan-gon faham dengan situasi yang melanda ketika ini dan dia juga ambil langkah berjaga-jaga. Untuk panggilan seterusnya pada Jun, kita perlu lebih berhati-hati terutama dari segi keselamatan pemain sama ada di dalam atau luar negara.

“Kita akan berusaha untuk dapat keputusan baik ketika menentang Republik Kyrgyz dan kita kena lawan dan tidak menyerah kerana peluang dalam aksi ini adalah 50-50,” jelasnya.