IMPIAN Muhammad Ridzwan Erman Effendi untuk bertemu pemain skuad Harimau Malaya tercapai apabila dipertemukan dalam satu majlis ringkas di hotel penginapan pasukan di Doha, Qatar.

Ridzwan, 27, dilahirkan cacat penglihatan, namun mempunyai keinginan seperti peminat bola sepak tanah air yang lain, untuk berada di stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan, pada setiap perlawanan di dalam mahupun di luar negara.

Ridzwan, yang berasal dari Batu Gajah, Perak ditemani abangnya, Raff Iskandar diberi peluang bersemuka dengan pemain pujaannya iaitu Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Shahrul Saad.

Ridzwan turut bertemu ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menyambut kehadirannya.

Hamidin sempat berbual dengan Ridzwan yang kelihatan gembira dapat berjumpa dengan ‘orang nombor’ satu FAM itu.

Terdahulu, mereka telah menyaksikan perlawanan pembukaan Malaysia bertemu Jordan, dan akan kembali meneruskan sokongan menonton aksi menentang Bahrain Sabtu ini dan juara dua kali Korea Selatan, pada 25 Januari ini.

Mereka berdua juga antara ribuan peminat pasukan kebangsaan yang berada di Qatar ketika ini, sempena saingan pertandingan bola sepak terulung Asia itu.