PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu geran Program Pembangunan ‘Fifa Forward’ dari 2016 hingga 2022 diterima setiap gabungan Ahli Persatuan.

FAM pada minggu lepas menerima sekitar AS$7.6 juta (kira-kira RM35 juta) bagi aktiviti pembangunan bola sepak termasuk pentadbiran dan tadbir urus.

“Saya perlu ingatkan bahawa bukan mudah untuk menggerakkan bola sepak, perlukan bajet tinggi terutamanya membawa pasukan kebangsaan bukan hanya skuad futsal wanita atau pasukan B-23.

“Belanja untuk pergi keluar bukan yang mudah, dan belanja bajet kita pun tinggi. Kena ingat, semua orang tak faham bila (geran) keluar daripada Fifa. Fifa mengatakan RM30 juta itu untuk tempoh tujuh tahun sebelum 2016 dipanggil financial assistance program bawah Sepp Blatter.

 

“Kalau anda tengok dalam RM35 juta untuk tujuh tahun, sebenarnya adalah lapan tahun. Pada 2016 – 2019, setiap circle menerima USD500,000 atau sekitar USD 1 juta tengok kepada rate.

“Selepas 2017, Piala Dunia seterusnya sampai 2022 tambah lagi USD 1 juta (kira-kira RM4 juta) pengiraan semua dalam RM25 juta.

“Geran ini memang semua negara pun dapat dan bajet kita adalah lebih tinggi kalau dibandingkan dengan sukan lain.

“Jadi itu perlu jelas. Ini adalah geran biasa yang dibuat oleh Fifa semasa persidangan di Jeddah,” katanya ditemui media selepas Majlis bacaan Yasin sempena Hari Lahir Datuk Hamidin Amin dan Majlis Doa Selamat sempena Piala Asia 2023 & Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Arena Futsal FAM.

 

Inisiatif bola sepak wanita menerima AS$0.7 juta diikuti perbelanjaan operasi bola sepak yang tidak digunakan/bola sepak (AS$0.7 juta), pembangunan kapasiti (AS$0.4 juta), peralatan dan lain-lain (AS$0.2 juta) dan pasukan kebangsaan (AS$0.2 juta).

Ujar Hamidin, lagi RM10 juta adalah projek khas untuk futsal di Arena Futsal FAM merangkumi fasiliti dan penukaran rumput tiruan termasuk kemudahan lain.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah itu sebenarnya tidak mencukupi kerana bajet melebihi daripada pecahan dibuat Fifa.

“Dari segi untuk kitaran seterusnya ada penambahan sikit dan kena ingat setiap tahun perlu bajet lebih daripada jumlah ini. Jadi kita dapat sikit geran daripada AFC dan juga dengan Fifa.

“Selebihnya, daripada penaja kita banyak daripada Bank Islam, Telekom, Malaysia Airlines dan banyak lagi yang tak boleh menampung. Kita pun perlu lagi dana untuk pergi lebih jauh dan persiapan untuk pasukan yang lebih besar.

Kepakaran Kim Pan-gon mula tuai hasil.

“Kalau kita nak result, kita ambil pakar daripada luar negara. Masa Kim Pan-gon dengan barisan dia, anda fikir berapa nak bayar income tax, kereta, gajinya rate dengan USD lah juga berapa?

“Kalau kita nak kejayaan, sama juga untuk futsal wanita, kita perlukan kepakaran,” katanya lagi.

Fifa telah menetapkan kira-kira AS$ 2.8 bilion untuk pelaburan dalam 211 persatuan ahlinya, serta dalam konfederasi dan pelbagai persatuan zon/serantau, untuk meningkatkan pembangunan bola sepak di wilayah mereka di bawah program yang dilancarkan pada Mei 2016.

Kitaran seterusnya yang dikenali sebagai Forward 3.0 akan bermula pada Januari 2024, dengan Fifa berjanji untuk menyediakan sehingga AS$8 juta setiap kitaran empat tahun.