PENGERUSI Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat menegaskan persatuan itu seharusnya hanya mengambil berat segala surat yang bertandatangan dan bukannya melayan surat yang dihantar tanpa tandatangan.

Ini ekoran reaksi badan bola sepak kebangsaan itu terhadap surat layang yang melakukan pelbagai pertuduhan kepada FAM termasuk isu salah laku kewangan yang dilihat mengganggu keharmonian di Kelana Jaya.

Dakwaan itu bagaimanapun sudah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kemudiannya disahkan sebagai No Further Action (NFA) dan membersihkan nama FAM dari sebarang salah laku.

Tan Sri Aseh Che Mat (dua, kiri) mahu isu surat layang ditamatkan segera untuk kemajuan bola sepak negara.

“SPRM sudah menyiasat dan perkara ini sudah diselesaikan serta pihak polis juga masih menjalankan siasatan terhadap isu ini dan pihak FAM juga akan memperbetulkan segala masalah yang ada dan tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini.

“Berdasarkan pengalaman saya memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan, saya tidak melayan surat layang, tetapi siapa yang tulis surat kepada saya bertandatangan, saya ambil berat dan pada saya isu ini menjadi masalah kerana FAM tidak biasa menerima surat layang.

“Ini membuatkan mereka mudah tersentuh teramat sangat dan ingin membuktikan mereka tidak bersalah dan mereka gesa saya bertindak segera menerusi Jawatankuasa Integriti tetapi saya katakan mereka perlu bertenang,” katanya dalam sidang media selepas Seminar Integriti FAM di Kelana Jaya.

Dr Aseh mengesahkan badan induk bola sepak tempatan itu ‘bersih’ daripada dakwaan membabitkan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) dan penyalahgunaan dana ketika Kongres FAM Mac lalu.

Tan Sri Aseh juga mahu perkara-perkara ini ditamatkan dan biarkan polis menjalankan siasatan untuk FAM kembali fokus kepada tugas memacu bola sepak negara ke tahap yang lebih baik.

Dalam sidang media yang sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram menjelaskan semua kakitangan sudah ditemui secara hati ke hati dan ada beberapa penambahbaikan sudah dilakukan untuk mengembalikan semula keyakinan peminat kepada FAM.