PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya sudah mempunyai dua pilihan stadium sebagai ‘Plan B’ sekiranya padang di Stadium Nasional Bukit Jalil didapati tidak memuaskan untuk aksi Harimau Malaya.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan berhadapan Oman dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di ‘Home of Harimau Malaya’ tetapi timbul kerisauan akan keadaan padangnya apabila stadium itu menganjurkan konsert Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.

Dua stadium yang menjadi pilihan FAM adalah Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang mempunyai permukaan padang yang baik dan pernah menjadi tuan rumah untuk aksi Harimau Malaya pada 2023.

Datuk Hamidin ketika menghadiri Majlis Town Hall Bola Sepak Wanita

Namun Hamidin yakin pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah belajar dari kesilapan lalu dan mereka akan memastikan padang berada dalam keadaan yang terbaik menjelang aksi penting itu.

“Saya dan pihak FAM akan memeriksa sendiri keadaan padang tiga minggu lebih awal bagi memastikan ianya sesuai untuk permainan bola sepak kerana apa yang Kim Pan-gon mahukan adalah permukaan padang yang baik.

“Kita juga sudah dimaklumkan oleh Datuk Hans Isaac bahawa mereka yakin keadaan padang akan baik kerana dan ianya tidak akan menjejaskan aksi tetapi kita akan periksa sendiri bagi mengelak perkara yang sama berulang.

Keadan terkini padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

“FAM sudah mempunyai dua pilihan stadium sekiranya padang Stadium Nasional tidak baik iaitu Stadium Sultan Ibrahim di Johor ataupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu kerana kedua-dua stadium ini mempunyai padang yang baik,” katanya ketika ditemui di Majlis Townhall Bola Sepak Wanita.

Hamidin turut menjelaskan akibat liga yang tidak berjalan setakat ini, pihaknya akan memastikan semua pemain berada dalam keadaan terbaik dengan mendapat kerjasama daripada setiap kelab.

“Kita akan keluarkan senarai pemain yang Pan-gon sedang ‘finalise’ kerana isu kita sekarang liga tidak bemula dan ada kekangan buat pemain kebangsaan kerana ramai yang masih bercuti dan dia sudah berhubung dengan semua kelab sebelum membuat keputusan sama ada minggu ini atau minggu depan,” jelasnya.

Malaysia kini di tangga teratas Kumpulan D dengan enam mata selepas dua kemenangan dan dua perlawanan menentang Oman di Muscat dan Bukit Jalil akan menjadi penentu laluan Harimau Malaya ke Piala Asia 2027 dan pusingan ketika kelayakan Piala Dunia.