PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) mengadakan perjumpaan bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) di Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi menyusun jadual penggunaan stadium berkenaan pada baki tahun 2023 ini dan juga di sepanjang tahun 2024 pada Isnin.
FAM diwakili oleh presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama-sama timbalan presidennya, Datuk S. Sivasundaram, naib presiden, Mohd Firdaus Mohamed dan exco, ACP (B) Md Dali Wahid selaku pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa pertandingan, setiausaha agung, Datuk Noor Azman Hj Rahman serta ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon dan penolongnya, Pau Marti Vicente.
MFL pula diwakili presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan dan ketua pegawai eksekutif, Datuk Stuart Ramalingam manakala PSM pula diwakili oleh pengerusinya, Datuk Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Faidz Sanusi dan ahli lembaga pengarah, Zahir Kelvin Ong Abdullah.
Perbincangan lebih menjurus kepada persediaan pihak PSM menjelang pertandingan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung di stadium itu dari 13 hingga 17 Oktober 2023 serta perlawanan pertama Harimau Malaya di Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023.
Selain itu, bagi saingan liga domestik pula, final Piala Malaysia 2023 juga dijadualkan berlangsung di situ pada 9 Disember 2023.
Hamidin berpuas hati dengan persiapan venue oleh pihak PSM, termasuk berkaitan dengan tempat duduk penonton serta padang dan berharap agar perlawanan-perlawanan tersebut dapat berlangsung dengan lancar dan sempurna.
Turut dibincangkan oleh FAM, MFL dan PSM adalah mengenai kalendar bola sepak tempatan dan antarabangsa bagi tahun 2024 yang mana ‘Home of Harimau Malaya itu turut digunakan pada baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac dan Jun 2024 selain aksi perlawanan akhir pertandingan anjuran MFL pada musim hadapan.
Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini ditutup untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan rumput jenis Zeon Zoysia yang mendapat kurniaan daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.