PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk menjalin kerjasama lebih komprehensif dengan Persatuan Bola Sepak Jordan selepas pertemuan kedua-dua presiden itu di Amman.
FAM yang diketuai presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menerima undangan kunjungan hormat ke atas Presiden Persatuan Bolasepak Jordan (JFA), Putera Ali Bin Al Hussein di Amman bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala Malaysia-Jordan.
Selain membincangkan kerjasama dua hala antara kedua-dua persatuan, Datuk Hamidin turut memaklumkan mengenai pembangunan bola sepak Malaysia terutama bola sepak wanita dan akar umbi yang perlu diberi lebih penekanan dengan beberapa pendekatan strategik.
Kunjungan Hormat Presiden FAM ke atas Presiden Persatuan Bolasepak Jordan
Baca Selanjutnya di:https://t.co/heIvYHU7ee#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/HLzjvDGfLG
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) January 26, 2023
Kedua-dua pihak juga berkongsi pandangan dan potensi kerjasama dua hala dalam bola sepak bukan saja antara Jordan malah antara negara Asia Barat di bawah WAFF.
“Terima kasih kepada Putera Ali yang meluangkan masa beliau untuk membincangkan kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Jordan.
“Kita juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan dengan Jordan merangkumi semua peringkat umur, termasuk skuad kebangsaan wanita, futsal dan bola sepak pantai di bawah kalendar FIFA nanti.
“Saya optimis perbincangan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka masa panjang,” kata Datuk Hamidin.
Kedua-dua pemimpin juga menyambut baik cadangan supaya hubungan kedua-dua negara, Malaysia-Jordan dan juga Asia Barat dinaikkan taraf ke peringkat yang lebih komprehensif dengan penglibatan daripada negara gabungan Persatuan Bola Sepak Asia Barat (WAFF).
Turut hadir dalam pertemuan itu adalah, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Haji Rahman, Setiausaha Agung JFA, Samar Nassar dan Setiausaha Agung WAFF, Khalil Al-Salem.
WAFF bepusat di Amman ialah badan penggendali bola sepak di Asia Barat di bawah AFC dan FIFA. WAFF mempunyai 12 negara anggota iaitu Jordan, Qatar, Bahrain, UAE, Palestin, Iraq, Kuwait, Lebanon, Oman, Arab Saudi, Syria dan Yemen.