PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Datuk Hamidin Mohd Amin tekad untuk mencari pengganti terbaik bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-Gon.

Bukan hanya itu, Hamidin turut berjanji agar pengganti yang direkrut nanti bakal menjadi sosok yang lebih baik berbanding pengendali kelahiran Korea Selatan itu, sekali gus dapat membawa nama bola sepak Malaysia lebih jauh.

“Janji saya adalah, saya akan membawa pengganti yang lebih baik berbanding Kim Pan-gon. Itu janji saya,” ujar Hamidin dengan tegas.

Dalam masa yang sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi tampil dengan kenyataan yang mendukung semangat Presiden FAM tersebut untuk mendapatkan khidmat ketua jurulatih terbaik.

FAM sedia berbelanja besar demi ketua jurulatih baharu.

Bahkan, beliau menyatakan bahawa FAM sanggup berbelanja besar sehingga RM 200,000 untuk seseorang pengendali yang mampu berikan hasil setimpal dengan khidmat sokongan yang diberikan.

“Kita bukan (berbicara) soal gaji, kita nak sekarang ni jurulatih yang mampu bawa kita ke satu tahap lain. Kalau kita ada yang bergaji RM100,000 tak boleh bawa ke mana lebih baik bayar gaji RM200,000 tapi boleh bawa kita jauh.

“Sebabnya kita kena berbelanja juga, skuad kebangsaan ni kita kena berbelanja banyak. Sekarang ini kita lihat beberapa (individu) telah menunjukkan minat untuk membantu pasukan negara. Bagi mendapatkan keputusan yang baik, mahu tidak mahu, kita kena berbelanjalah,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM.

Skuad kebangsaan kini dalam persiapan di Auckland sebelum aksi menentang New Zealand pada 14 Oktober 2024.