PENGURUS pasukan skuad B-23 tahun kebangsaan, Datuk Seri Shahril Mokhtar menjelaskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sentiasa mempunyai perancangan untuk mendapatkan permain terbaik untuk mewakili skuad kebangsaan.

Ini selepas skuad muda negara berjaya menempah tempat ke pusingan akhir Piala Asia AFC B-23 2024 dan dirinya  serta ketua jurulatih, E Elavarasan tidak pernah berhenti berdoa agar dapat memanggil pemain-pemain muda terbaik negara untuk menyertai skuad kebangsaan.

Beliau juga turut berbangga apabila Malaysia berjaya layak mengenepikan pasukan yang lebih tinggi ranking dunia dan yakin skuad ini mampu pergi lebih jauh menjelang tempoh kejohanan sebenar pada April 2024.

“Apa yang boleh saya katakan adalah saya bangga dan jika kita lihat pasukan Oman, Bahrain dan Kyrgyzstan yang mana pasukan senior mereka mempunyai ranking yang lebih tinggi tidak layak dan anak-anak muda ini patut berasa bangga kerana mereka masih muda dengan purata 21 tahun dan dengan persediaan enam bulan, pasukan ini boleh pergi lagi jauh.

“Tempoh enam bulan tidak lama, jadi kita di FAM akan berbincang dengan MFL dan kelab-kelab untuk dapatkan pelepasan pemain kerana majoriti pemain dalam skuad B-23 adalah pemain yang kerap diturunkan dalam saingan Liga Super jadi ia akan menjadi sedikit masalah tapi kita harap kelab-kelab akan beri sokongan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Shahril juga mahu memastikan pasukan ini mempunyai persiapan yang cukup dan akan mengatur perlawanan antarabangsa dengan beberapa pasukan ternama bagi memastikan Malaysia bersedia untuk berhadapan pasukan lebih kuat di Sukan Asia.

“Untuk perlawanan persahabatan sebagai persiapan, kita akan cari jalan supaya kita adakan beberapa perlawanan kompetitif, tapi kita kena tunggu undian kumpulan terlebih dahulu sebelum mengatur apa-apa sahaja.

“Perancangan itu tidak pernah mati. Saya selalu berbincang dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin saya kata, setiap kali ada panggilan saya akan tanya Arif Aiman boleh panggil ke, Feroz boleh panggil ke, Ramadhan boleh panggil ke?

“Jadi terpulang kepada pucuk pimpinan. Macam kami , bila ada sahaja pemain, kami akan buat kerja. Tapi saya berharap dan berdoa April nanti kalau ada rezeki kita dapat pemain ini kerana mereka akan dapat bantu pasukan.

“Jadi sama-sama kita berdoa,”katanya.