PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima laporan aduan dari Kuala Lumpur City FC berkaitan pengadil ketika perlawanan kelab itu menentang Penang FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Sabtu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman mengesahkan perkara ini dengan mengatakan KL City sudah mengemukakan laporan beserta rakaman video insiden itu pada Isnin dan ianya diserahkan kepada jawatankuasa penilaian prestasi pengadil untuk tindakan lanjut.

Noor Azman turut menjelaskan bahawa pengendali KL City, Bojan Hodak juga mungkin akan dikenakan tindakan sekiranya didapati mengkritik pengadil secara terbuka atau sebaliknya.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.

“Kita sudah menerima laporan daripada KL City semalam dan seterusnya perkara ini akan diserahkan kepada jawatankuasa penilaian prestasi pengadil. Jika ada perkara yang tidak puas hati membabitkan pengadil, ianya perlu dilakukan menggunakan saluran yang betul.

“FAM ada jawatankuasa yang akan menguruskan perkara itu. Setakat ini, selepas tujuh perlawanan awal Liga Super, hanya KL City sahaja yang menghantar laporan berkaitan keputusan pengadil.

“Pada masa yang sama, esok atau lusa kita akan bentangkan laporan itu untuk diteliti sebelum tindakan susulan diambil,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman penaja dan pelancaran jersi skuad Projek FAM-MSN pada Selasa.

 

Dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 itu, Hodak nyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaan susulan beberapa keputusan pengadil perlawanan yang boleh dipertikaikan.

Selain itu, berkaitan insiden pergaduhan penyokong Perak FC dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Perak, Ipoh, Azman turut menjelaskan mereka tidak menerima sebarang laporan daripada kedua-dua pasukan mahupun komisioner perlawanan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya berfikir kenapa kita tak boleh komen tentang pengadil? – Hodak

“Setakat ini, kita hanya menerima laporan daripada KL City namun tidak menerima apa-apa laporan mengenai pergaduhan penyokong,” tambahnya.