PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal berganding bahu dalam usaha memerangi kepupusan harimau Malaya dengan menyokong antara lain usaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang menerajui usaha konservasi biodiversiti termasuk harimau Malaya.
FAM melalui Jawatankuasa Eksekutif pada Selasa telah bersetuju untuk memberikan sumbangan sebanyak RM 1 kepada KBS daripada setiap tiket perlawanan pasukan kebangsaan yang terjual.
Jelas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau optimis kolaborasi bersama KBS ini menjadi saksi kepada satu bukti konklusif dengan kedua-dua organisasi ini juga menitikberatkan hidupan liar khususnya harimau Malaya yang merupakan haiwan ikonik Malaysia yang kini sedang berdepan isu kepupusan.
“Ini adalah satu misi yang izhar buat FAM dan KBS dalam pemuliharaan harimau Malaya. Setiap kali kita keluar bermain dan menonton bola sepak, kita menyumbang kepada kehidupan setiap harimau Malaya di Malaysia,” kata Hamidin dalam satu kenyataan di Facebook FAM.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Harimau Malaya merupakan lambang dan nama panggilan keramat buat pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia.
“Kita tidak mahu di satu hari nanti harimau tinggal maskot ataupun slogan dan laungan sahaja tanpa adanya harimau liar di hutan kita.
“Jika spesies ini pupus, jiwa kelestarian negara ini juga akan pudar dan tidak akan ada makna jika pada masa itu pasukan kebangsaan kita masih bergelar Harimau Malaya.
“Saya menyeru semua anak muda yang minat kepada bolasepak juga menunjukkan semangat yang sama dalam pemeliharaan harimau Malaya,” katanya.
Siaran Media: KBS & FAM Ganding Bahu Membantu Konservasi Harimau Malaya Melalui Kutipan Jualan Tiket
FAM bersetuju memberikan sumbangan sebanyak RM1 daripada setiap tiket perlawanan Pasukan Kebangsaan yang terjual.
▶️ Baca penuh di https://t.co/SsMu782Pjz#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/fv2eoVGkmP
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 23, 2023