PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) gembira dengan tawaran rumput baharu yang diperkenan oleh Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim untuk menggantikan rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed menyatakan bahawa pihaknya tetap memantau kondisi semasa padang tersebut.
Ini bertujuan untuk memastikan padang itu sesuai digunakan pada Aksi Pusingan Kedua Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan pada 11 Jun ini.
Badan induk itu juga dilihat serius tentang kondisi padang yang bakal digunakan oleh skuad kebangsaan, tambahan pula terdapat satu lagi konsert yang bakal diadakan di SNBJ dalam tempoh terdekat ini.
“Bagi saya, perlawanan pada bulan Jun itu adalah mustahak menentang Taiwan. Jadi mungkin teknologi baharu yang diperkenalkan dan dihadiahkan oleh Pemangku Sultan Johor ini dapat bantu kita.
“Walau bagaimanapun, kita akan memantau kedudukan padang dan sebagainya kerana terdapat satu lagi konsert yang akan diadakan di SNBJ, yang memberi kita tekanan juga sama ada mahu pakai SNBJ atau tidak.
“Kita akan buat lawatan juga di sana, dan ini bermakna FAM tidak berkompromi dengan mana-mana pihak. Jika padang boleh guna, kita guna.
“Keutamaan kita adalah kepada pemain. Kami tidak mahu pemain cedera kerana mereka pemain profesional. Ini periuk nasi mereka, namun kalau mereka bermain dalam keadaan yang tidak selesa, kita di FAM perlu rasa bersalah juga dan mesti bertanggungjawab juga,” ujarnya semasa ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Dalam perkembangan sama, Firdaus turut memberi bayangan bahawa FAM akan mempertimbangkan dua venue lain untuk menggantikan SNBJ, sekiranya padang tidak berada dalam kondisi yang baik.
“Stadium Sultan Ibrahim atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah dua pilihan lokasi yang kita nampak sekarang ini dan tiada sebarang masalah untuk kita berpindah,” tambahnya.
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa Pemangku Sultan Johor telah berkenan untuk menukarkan rumput di SNBJ kini (Zeon Zoysia) dengan rumput jenis hibrid yang mungkin lebih sesuai untuk dipakai di sana.
Artikel Berkaitan: Pemangku Sultan Johor taja rumput hibrid SNBJ