AMARAN dan peringatan telah diberi oleh pihak badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) kepada pasukan-pasukan yang terlibat dalam Piala Presiden dan Piala Belia 2024.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Asisten Komisioner (B) Md Dali Wahid menegaskan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang pergaduhan sepanjang kejohanan piala berlangsung.
Menurutnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan memantau situasi di setiap venue perlawanan dan memastikan tahap keselamatan sentiasa terkawal.
“Kita telah beri taklimat kepada pasukan hari ini dan banyakkan menyentuh mengenai segala peraturan dan undang-undang pertandingan, selain mengenai keselamatan kerana perlawanan Piala Belia dan Piala Presiden dianjurkan di padang terbuka dan segelintir di stadium.
“Apabila bermain di padang yang terbuka seperti tahun lalu, terdapat insiden yang tidak diingini contohnya berlaku pergaduhan, memukul pengadil, jadi kita tidak mahu perkara sama berlaku.
“Antara langkah untuk membendung, pihak PDRM juga akan berada di lokasi perlawanan-perlawanan tersebut,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Undian Piala Presiden dan Piala Belia 2024.
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa sebanyak 18 pasukan yang bakal menghangatkan Piala Belia manakala 16 pasukan mengesahkan slot ke Piala Presiden yang akan berlangsung pada April.