PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan lanjutan kerjasama dengan Malaysia Aviation Group Berhad (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB) selama tiga tahun bagi memastikan Harimau Malaya terbang lebih tinggi.

Perjanjian lanjutan usahasama itu bermula Januari 2024 hingga Disember 2026 selepas perjanjian sedia ada selama tiga tahun sebelum ini bakal berakhir pada 31 Disember 2023.

Perjanjian penajaan FAM bersama MAG itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan MAG, Lau Yin May, disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Ahmad Luqman Mohd. Azmi ketika Kongres Tahunan FAM kali ke-59 di Petaling Jaya.

 

Hamidin berkata kehadiran Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan rasmi sejak 2019 telah banyak menyumbang kepada kejayaan-kejayaan yang telah diraih oleh skuad Harimau Malaya.

“Mewakili barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM serta seluruh tenaga kerja FAM, kami amat berbesar hati di atas lanjutan kerjasama bersama MAG ini di mana organisasi penerbangan terbesar di negara ini terus memberi kepercayaan kepada jenama Harimau Malaya.

“Hubungan baik di antara FAM dan MAG sejak lima tahun lalu memberi satu mesej penting kepada penyokong-penyokong skuad kebangsaan bahawa FAM bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada barisan penaja-penajanya malah dapat memberi impak yang positif terhadap sektor ekonomi negara.

“Tanpa MAG, visi FAM untuk melihat Harimau Malaya terbang jauh sudah tentu tidak akan kesampaian. Semoga hubungan strategik ini terus membawa nama FAM serta MAG di pentas antarabangsa,” katanya.

Kerjasama antara FAM dan Malaysia Airlines ini juga menyaksikan sebuah pesawat khas Airbus A330 telah dicat dengan livery istimewa sebagai lambang semangat Harimau Malaya.