LIGA Bola Sepak Wanita Nasional akan diperkasakan untuk musim 2023 dengan penampilan 12 pasukan untuk tempoh enam bulan bersesuaian dengan kriteria yang telah ditetapkan oleh FIFA.
Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob dalam sidang media yang turut memperkenalkan Pengarah Teknikal dan Ketua Jurulatih Bola Sepak Wanita baharu, Soleen Al-Zoubi.
Dalam sidang media itu juga, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bakal menghantar skuad wanita ke Sukan Sea Kemboja selepas dikritik hebat kerana tidak menghantar pasukan ke Sukan Sea Vietnam tahun lalu.
“Liga Wanita Nasional akan diperkasakan untuk musim 2023 dengan penyertaan 12 pasukan yang bakal menyaksikan setiap pasukan bermain 22 perlawanan selama enam bulan sekaligus mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh FIFA.
“FAM lebih proaktif dalam perkara ini kerana kita sudah tidak boleh menunggu kerana kita sudah semakin jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara lain dan FAM juga akan mengatasi segala masalah yang melanda landskap bola sepak wanita ketika ini.
“Perlantikan Soleen Al-Zoubi ini sangat dinantikan dan ini adalah langkah untuk bola sepak wanita maju ke hadapan dengan pengalamannya sebagai bekas Pengarah Teknikal Jordan FA serta pemain wanita skuad kebangsaan Jordan selama 14 tahun,” katanya ketika sidang media itu.
Soleen turut menyatakan pelan jangka pendek yang mahu dilaksanakan olehnya adalah mahu melahirkan lebih banyak bakat-bakat baharu dan mewujudkan identiti serta DNA bola sepak wanita kebangsaan.
“Saya dapat lihat semangat dalam diri para pemain wanita di negara ini dan matlamat jangka pendek saya ketika ini adalah untuk melahirkan lebih banyak bakat-bakat baharu dengan mencari lebih ramai pemain wanita berkualiti dan menjalankan Liga Wanita Nasional selama enam bulan bagi memastikan pasukan kebangsaan mempunyai pemain yang lebih berkualiti.
ARTIKEL BERKAITAN:
Luahan awal ketua jurulatih bola sepak wanita Malaysia Soleen
“Soleen beri nafas baharu bola sepak wanita Malaysia” – FAM
“Sekarang ini segalanya masih di peringkat pembangunan dan kami akan mengumpulan semua pemain terbaik dan akan mewujudkan identiti atau corak permainan yang akan menjadi identiti Malayan Tigress dan ini adalah keutamaan untuk saya ketika ini,” katanya kepada media.
Turut hadir pada sidang media itu adalah Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang menyatakan FAM tidak ada perancangan untuk melakukan proses naturalisasi atau mencari pemain warisan sebaliknya hanya fokus kepada bakat-bakat tempatan sahaja untuk bola sepak wanita.
Azman turut mengesahkan bahawa FAM sudah mengadakan mesyuarat bersama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dengan mencadangkan bola sepak wanita sebagai salah satu acara yang dipertandingkan dalam Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).