PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan tidak akan menghantar skuad bola sepak bawah 23 (B-23) tahun negara menyertai Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China September ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan keputusan itu dibuat kerana skuad kendalian E. Elavarasan itu perlu memberi keutamaan kepada kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang juga berlangsung pada September ini.

Selain kelayakan Piala Asia B-23 yang hanya berselang 10 hari dari tarikh Sukan Asia, skuad negara juga akan memberi fokus kepada dua lagi kejohanan penting tahun ini iaitu Sukan SEA Kemboja dan Piala AFF B-23 tahun.

“Skuad B-23 akan ke Sukan Sea Kemboja Mei ini selain satu lagi kejohanan penting iaitu kelayakan Piala Asia B-22 pada September dan disebabkan itu, setelah berbincang dengan pengarah teknikal dan jurulatih, kita sudah putuskan bersama barisan exco bahawa kita tidak akan sertai Sukan Asia kerana kita memikirkan dua kejohanan ini adalah lebih mustahak.

“Kita tak mahu menyertai semua kejohanan yang mana pada akhirnya semua tidak menjadi. Fokus kita adalah tiga, Sukan SEA, kelayakan B-23 yang belum ditentukan tuan rumah serta Piala AFF B-22 pada November,” katanya.

Difahamkan juga, pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah dimaklumkan oleh FAM mengenai perkara ini dan mereka menerima justifikasi yang diberikan oleh FAM untuk tidak menghantar pasukan bola sepak ke Sukan Asia.

Hamidin juga menjelaskan bahawa skuad B-23 negara juga telah mendapat jemputan untuk aksi persahabatan di Singapura sebagai persiapan ke Sukan SEA dan juga beberapa kejohanan pada tahun ini.

Baru-baru ini, FAM telah mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai sesi latihan berpusat yang bermula dari Selasa 14 Februari 2023 hingga Ahad 19 Februari 2023.

 

Sebagai rekod, skuad negara berjaya layak ke pusingan 16 terbaik di Sukan Asia 2018, Indonesia selepas menjuarai peringkat kumpulan di hadapan Korea Selatan dan Bahrain sebelum tewas kepada Jepun 1-0.