PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mempertingkatkan lagi tahap keselamatan ibu pejabat dan semua kakitangannya ekoran dua insiden khianat yang menimpa dua pemain kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa beliau sedar pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada mereka yang terlibat dengan FAM dan atas sebab itu tahap keselamatan dipertingkatkan bagi mengelak insiden seperti itu berlaku.

Malah Hamidin turut mahu keselamatan pemain kebangsaan turut dipertingkatkan terutama ketika kem latihan pusat dengan beberapa langkah proaktif akan diambil bagi memastikan keselamatan semua pemain terjamin.

“Kita akan tingkatkan lagi keselamatan ibu pejabat, kakitangan serta pasukan kebangsaan dan saya sudah mendapat maklumat dari Setiausaha Agung yang kita akan tingkatkan keselamatan dengan lakukan apa yang patut dilakukan.

“Saya juga ada menasihatkan pada semua pasukan yang bertanding untuk mengambil berat pemain masing-masing dan saya juga telah berbincang dengan Kim Pan-gon untuk memberikan kawalan keselamatan lebih ketat kepada pemain kebangsaan ketika di dalam kem,” katanya dalam temubual bersama FLASH SUKAN di Wisma FAM pada Selasa.

Para pemain yang mempunyai kemampuan juga disaran untuk mengupah pengawal peribadi persendirian sebagai langkah tambahan kepada keselamatan mereka.

Hamidin juga menasihatkan semua pemain terutama pemain kebangsaan serta pasangan masing-masing untuk lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran.

“Pada pemain-pemain kebangsaan ini memang media sosial sepatutnya menjadi tempat untuk menyampaikan info yang sepatutnya dan kurangkan hantaran berbentuk peribadi. Nasihat ini juga saya berikan kepada pasangan mereka supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial,” jelasnya.

Flash Sukan sebelum ini melaporkan pasukan Selangor FC sudah menempatkan marshal di pusat latihan mereka bagi menjamin keselamatan para pemain ketika menjalani latihan