PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) bersama program pembangunan bola sepak badan induk bola sepak Eropah, UEFA Assist dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah menganjurkan program Bola Sepak untuk Wanita di Hotel Armada, Petaling Jaya, Isnin.
Program selama empat hari bermula hari ini (30 Januari 2023) hingga Khamis, 2 Februari 2023 disertai 50 peserta yang terdiri daripada FAM, Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), persatuan- persatuan bola sepak negeri, pengurus dan pegawai tadbir pasukan, bakal jurulatih serta pemain-pemain bola sepak wanita negara.
Ia telah dikendalikan oleh tiga penasihat pakar UEF, Geoff Wilson, Esther Thamar Hujismans dan Pasquier Eva yang mana ketiga-tiga instruktur ini telah berkongsi pengalaman serta memberi pendidikan yang lebih mendalam mengenai bola sepak wanita serta wanita dalam kepimpinan.
Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berkata, program UEFA-FAM ini sebagai satu peluang keemasan buat wanita-wanita yang kini berkecimpung atau mahu melibatkan diri di dalam arena bola sepak.
“Bagi pihak Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, saya ingin menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasihnya kepada peserta-peserta yang telah hadir pada hari ini.
“Program yang diadakan selama empat hari ini menunjukkan bahawa FAM serius dalam memperkasakan bola sepak wanita selain mahu lebih ramai wanita di dalam arena bola sepak negara.
“Menerusi program UEFA-FAM ini, kita dapat pelajari mengenai pentadbiran yang efektif, pemasaran bola sepak wanita dan pelbagai lagi aspek yang boleh diterapkan dalam sistem bola sepak wanita di Malaysia,” ujarnya.
Turut hadir timbalan pengerusinya, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah dan Ketua Unit Bolasepak Wanita FAM merangkap Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi.
Sementara itu, Soleen pula melihat bahawa program bersama UEFA itu sebagai titik perubahan buat bola sepak wanita di dalam negara.
Menurutnya, program-program pendedahan seperti UEFA-FAM ini dapat memberi input yang terkini sekali gus memartabatkan lagi wanita menerusi sukan bola sepak.
“Fokus kami di FAM bukan sahaja mahu melahirkan pemain-pemain yang mampu bersaing secara kompetitif tetapi juga pegawai-pegawai serta kelab-kelab bola sepak yang efisien di dalam pengurusan serta pentadbiran bola sepak,” kata Soleen.