PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan kerjasama strategik dengan HP Malaysia sebagai Rakan Teknologi selama satu tahun.
Menerusi kerjasama ini, HP Malaysia akan menyediakan peralatan dan teknologi terkini buat pasukan eSukan kebangsaan, eRimau.
Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar gembira dengan kerjasama ini dan mahu lebih banyak syarikat untuk bekerjasama.
“Kami mengalu-alukan kehadiran HP Malaysia ke dalam Keluarga FAM dengan kerjasama ‘in kind’ sebanyak RM300,000 sebagai Rakan Teknologi. Kerjasama selama setahun ini selaras dengan sistem utama FAM untuk meningkatkan nilai komersil bola sepak negara.
“FAM kini juga akan meletakkan fokus kepada esukan dan kerjasama ini akan mendorong lebih banyak jenama lain bekerjasama dengan kami bagi masa depan yang lebih baik bagi platform sukan ini,” katanya pada sesi pengenalan kerjasama di Kelana Jaya.
FAM umum kerjasama dengan HP untuk platform ERimau#harimaumalaya #fam pic.twitter.com/Rb8eE3vXkU
— Flash Sukan (@FlashSukan) October 27, 2022
Sementara itu Pengarah Urusan HP Malaysia, Alex Tan berkata ini adalah kerjasama pertama HP dengan persatuan sukan di Malaysia dan berharap dengan kerjasama ini lebih banyak pasukan esukan dapat diwujudkan dalam negara ini.
“Permainan video adalah DNA yang besar di HP dan kami akan menyediakan peralatan terbaik yang canggih buat pasukan esukan kebangsaan, eRimau.
“Dengan teknologi yang canggih, kami mahu melihat kejayaan eRimau di peringkat antarabangsa dan mahu lebih banyak pasukan dapat ditubuhkan serta mendapat penghargaan di seluruh dunia,” katanya dalam sidang media yang sama.