PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Ketua Jurulatih Skuad Wanita B-20 Tahun Kebangsaan yang bakal mempersiapkan pasukan untuk beraksi di Kelayakan Piala Asia 2024 di Kemboja pada Mac.

Ketua Unit Akar Umbi FAM, Cameron Ng diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma FAM Kelana Jaya pada Isnin.

Ditanya apakah kriteria yang melayakkan Cameron untuk menjawat jawatan ini, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnell berkata kerana pemahaman akar umbi yang ada pada dirinya sesuai dengan falsafah FAM untuk merubah senario bola sepak wanita.

Cameron Ng

“Cameron adalah seorang yang berkelayakan dan mempunyai lesen kejurulatihan A. Selain itu dia mempunyai pengalaman yang luas dalam pembangunan bakat-bakat baharu dan ini selari dengan falsafah FAM untuk melahirkan lebih banyak pemain profesional dan mewujudkan professionalisme dalam bola sepak wanita.

“Kami juga mahu mewujudkan liga wanita yang lebih panjang kerana kami mahu pemain datang ke kem kebangsaan dalam keadaan yang bersedia untuk mampu bersaing dengan lebih baik,” kata Scott kepada media.

Perlantikan Cameron ini bertujuan untuk membimbing skuad wanita B20 negara mengharungi Kelayakan Piala Asia B-20 Wanita 2024 yang akan bermula pada 8 Mac nanti di Kemboja.

Soleen Al Zoubi

Dalam peringkat kelayakan itu, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan G bersama-sama Kemboja serta Myanmar dan Pakistan dan sebagai persiapan mengharungi kejohanan itu, skuad wanita B-20 negara akan turun menentang Mongolia dalam satu perlawanan persahabatan pada 2 Mac.

Keputusan perlantikan Cameron ini dibuat selepas perbincangan serta penilaian menyeluruh dilakukan bersama di antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob serta Ketua Jurulatih dan Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita, Soleen Al Zoubi.

PROFIL KETUA JURULATIH MALAYAN TIGRESS B-20

 Nama: Cameron Ng

 Umur: 44

 Tarikh Lahir: 28 Julai 1979

 Negara: Malaysia

 Kelayakan Kejurulatihan: Diploma Kejurulatihan AFC/FAM A

 Jawatan : Ketua Unit Akar Umbi FAM (sejak 2020)