KETUA Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad terkejut dengan aksi yang ditampilkan anak-anak buahnya meskipun berjaya meraih tiga mata ketika menunjukkan Kelantan United FC 1-0 dalam perlawanan Liga Super.

Dalam aksi di Stadium Darul Makmur itu, Sri Pahang mendapat kemenangan pada minit terakhir permainan menerusi jaringan pemain import, Stefano Brundo untuk memberikan kemenangan keempat skuad Tok Gajah.

Fandi turut memuji aksi Stefano yang sering kali menyelamatkan maruah Sri Pahang dengan jaringan-jaringan penting sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah setakat lapan perlawanan.

“Pemain agak lesu dan macam kurang motivasi. Mungkin mereka terlalu letih dan bermain dengan pasukan ‘underdog’ bukan mudah kerana mereka tidak ada tekanan dan bebas bermain. Kami berjaya bangkit pada babak kedua dan dapat menguasai permainan. Saya hanya puas hati dengan tiga mata dan bukan persembahan.

“Kelemahan kami pada perlawanan ini adalah bahagian tengah, hantaran bola dan bahagian serangan dan ini perlu diperbaiki. Hantaran yang tidak menentu dari bahagian tengah menyebabkan kami banyak hilang bola dan buatkan kami penat.

“Kami perlu beraksi sebagai satu pasukan dengan membuat hantaran-hantaran pendek terlebih dahulu sebelum membuat percubaan ke arah gol. Kami akan pengsan kalau jumpa pasukan yang lebih kuat dan untuk perlawanan ini, Kelantan United tidak dapat jaringkan gol sahaja,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

Fandi turut memuji sumbangan Stefano dengan menyifatkan pemain itu sebagai individu yang bijak dan bekerja keras hingga dia berani merubah posisinya dari pertahanan tengah ke bahagian tengah.

Kemenangan itu meletakkan Sri Pahang di tangga ketiga dengan 16 mata dari lapan perlawanan dibezakan perbezaan jaringan dengan Kedah dan akan berhadapan Selangor FC dalam aksi Piala FA pada Sabtu.